17 Ogos 2009

Penamaan calon DUN Permatang Pasir pagi ini, saingan mungkin 3 penjuru

BUKIT MERTAJAM: Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir - yang diadakan dalam tempoh singkat sejak wujudnya kekosongan - berlangsung pagi ini dengan saingan dijangka melibatkan tiga penjuru.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil yang kelapan sejak Mac 2008 ini bermula 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia untuk melangsungkan proses penamaan calon dengan kawalan keselamatan pihak polis.

Proses penamaan calon berlangsung di sebalik beberapa pendekatan baru diperkenalkan dan keseriusan jangkitan wabak influenza A(H1N1).

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof meminta semua parti yang bertanding agak mengawal penyokong iringan bagi mengawal ketenteraman awal dan mengelak jangkitan.

Seperti lazimnya parti-parti utama sudah mengumumkan calon masing-masing. Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh Rohaizat Othman, 38, yang juga peguam syarie adalah calon BN.

Calon Pas pula ialah Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Mohd Salleh Man, 52.

Calon Bebas mungkin bertanding ialah Kamarul Ramizu Idris yang bertanding di Bukit Gantang dan Penanti.

Kerusi Permatang Pasir itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai akibat sakit jantung

Dalam pada itu, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Isnin ini mulai pukul 6 pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang DSP Wari Kiew sebelum ini berkata, langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Jalan yang ditutup adalah Jalan Berapit di hadapan perkuburan cina Berapit dan simpang tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang.

Kenderaan yang datang dari arah pekan Bukit Mertajam atau Bandar Perda dilencong ke Jalan Abdul Kadir atau Jalan Tok Elong ke Jalan Tanah Liat, Kubang Semang dan Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).

"Kenderaan dari arah Kulim atau BKE pula akan dilencongkan di simpang tiga Jalan Mengkuang/Jalan Berapit ke Jalan Mengkuang arah ke Kulim bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan IKBN itu," kata beliau.

Tiga kawasan khas disediakan berhampiran IKBN untuk meletak kenderaan yang jaraknya antara 600 meter dan 1.4 kilometer dari pusat penamaan calon.

Mstar/-

Tiada ulasan: