05 September 2009

Kemajuan & kemunduran, Borjuis Kaya & Proletariat Marhaen, Keadilan Insan dan sosial. Kemajuan Negara

Oleh : Muhamad Al Hafiz

Kini aku menetap di sebuah kawasan yang terletak di pinggir bandaraya Kuala Lumpur. Sebuah kota yang kononnya megah dan hebat. Ada LRT, ERL, Lebuhraya-lebuhraya yang berselirat dan bangunan-bangunan yang besar dan tinggi. Aku yakin, keadaan dan kemajuan seperti ini tiada di Ipoh atau Alor Setar walaupun jaraknya hanya beberapa ratus kilometer, jika ada pun bandar lain yang mampu menandingi Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Kelang, mungkin Pulau Pinang dan Johor Bahru, itu pun masih juga ketinggalan jauh. Tetapi dengan kemajuan Kuala Lumpur yang pesat, masih juga kita boleh menjumpai para fakir-fakir miskin yang tinggal di sini, pengemis juga masih ramai, apakah ini boleh dikatakan satu kemajuan?

Aku tinggal di sebuah kawasan perumahan flat usang, di belakang sana ada kawasan setinggan, di depan sana ada apartmen sederhana, dan di atas bukit sana ada kondominium mewah. Di atas sana juga ada Café tempat orang-orang berada bersantai, tetapi di kawasan bawah ini, beberapa ratus meter sahaja jaraknya hanya ada gerai-gerai makan yang kadang-kadangkala tikus berkeliaran lari, apakah ini takrif kemajuan? Di kawasan ini juga penuh dengan masalah sosial, tetapi aku lihat manusia-manusia di sini umpama tidak mempedulikannya, seolah-olah bahawa kerosakan sosial itu satu lambang kemajuan.

Mengapa pusat pentadbiran, kewangan, perindustrian, pendidikan, perdagangan, & pengangakutan kesemuanya dilonggokkan di kawasan sekitar Lembah Kelang? Aku agak hairan mengapa pihak yang berkuasa membiarkan ini terjadi. Bagaimana dengan kawasa-kawasan lain di Malaysia, aku rasa ini merupakan ketidak seimbangan sosial. Ini akan menimbulkan banyak penghijrahan rakyat dari kawasan lain ke kawasan Lembah Kelang hingga kawasan Lembah Kelang ini sudah tidak mampu diuruskan dengan baik lagi. Mengapa pihak berkuasa dilihat seperti tidak mampu untuk membahagi dan mengagihkan kekayaan Negara secara menyeluruh untuk sampai ke seluruh pelosok Negara dan kepada semua rakyat?

Negara kita ini kaya, tapi mungkin cara pembahagian kekayaan tidak adil atau sistemnya tidak betul atau akibat juga mungkin akibat ketirisan dan rasuah yang berleluasa. Saudara Anwar Ibrahim selalu mencanangkan mengapa pada tahun 70an dahulu, secara ekonominya Malaysia adalah standing dengan Korea Selatan dan Taiwan, tetapi kini mengapa kita talah jauh ketinggalan dengan mereka? Bukankah Taiwan banyak menghadapi pergolakkan politik dan Korea Selatan menghadapi perang saudara? Malaysia yang Allah kurniakan dengan Petroleum dan pelbagai lagi kekayaan hasil bumi, tetap tidak mampu menandingi Korea Selatan dan Taiwan yang kurang hasil bumu mereka, mengapa? Di mana kesilapan pihak yang menggariskan dasar ekonomi dan kewangan Negara?

Pendapatan

Jurang pendaptan antara rakyat di Negara ini juga amat luas jaraknya, bayangkanlah masih ada kilang-kilang yang memberikan pendapatan dibawah RM500.00 sebulan, tapi cuba kita tanya pula berepa pendapatan seorang pengurus di sebuah kilang yang sama juga, berlipat kali ganda pendapatannya, inilah yang tidak adil dan tidak islamik. Mereka dari golongan borjuis selalu member alas an bahawa ini terjadi akibat taraf pendidikan dan tanggungjawab kerja yang berbeza. Apakah mereka tidak terfikir bahawa pekerja bawahan golongan proleteriat marhaen juga adalah manusia yang juga mempunyai tanggungjawab lain dalam kehidupan. Sistem Kapitalis dan masyarakat liberal yang menjunjung konsep ini langsung tidak memikirkan konsep keadilan sosial. Oleh kerana itu Islam menekankan konsep keadilan insan untuk kebaikan semua pihak. Ini kerana jika terlalu banyak individu yang miskin, yang lahir daripada konsep ini, maka kerajaan terpaksa sedikit sebanyak terpaksa bertanggungjawab lebih terhadap mereka, dan ini melibatkan wang. Kerajaan terpaksa mengenakan cukai yang tinggi untuk menampung golongan bawahan.

Aku dambakan sistem ekonomi yang lebih adil

Atau mungkin kerana sistem ekonomi kita yang tidak berlandaskan takwa, iman dan kesederhanaan yang menyebabkan keberadaan ekonomi Negara kita menjadi bobrok? Sistem ekonomi Islam bolehlah kita bayangkan begini, seperti yang Prof Dr Hamka bayangkan, Seorang Ibu yang membesarkan dan menyusukan, pasti tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anaknya, tetapi anaknya harus sedar dengan sendiri bahawa tanggungjawab dia sebagai anak untuk menampung kehidupan ibunya. Oleh kerana itu Islam mengenakan zakat pendapatan dan zakat perniagaan yang rendah, kerana zakat dan cukai yang rendah dapat menjana ekonomi Negara dan mengelakkan “ideologi meminjam”.

Bayangkan di Negara kita, cukai pendapatan individu yang tinggi dan cukai yang tinggi sebenarnya agak merencatkan ekonomi Negara. Syarikat-syarikat konglomerat borjuis juga terpaksa meminjam dengan banyak dari pihak bank untuk menjana sesuatu projek besar yang mereka usahakan, ini akibat cukai yang terlalu tinggi yang dikenakan pihak kerajaan hingga menjadikan dana mereka kurang mencukupi untuk membiayai projek mereka sendiri. Ini juga amat menguntungkan pihak bank, yang secara percuma dapat untung “atas angin” dan menggalakkan riba. Zakat perniagaan yang rendah akan meri ruang untuk syarikat itu mempunyai dana yang besar dan kurang perlu untuk berhutang, mereka juga akan mampu menaikkan pendapatan pekerja mereka. Apabila mereka dapat memperbesarkan syarikat mereka dengan kurang tanggungan hutang, maka sesebuah syarikat itu dapat menambahkan guna tenaga kerja, dan secara tidak langsung juga cukai yang diberikan oleh kerajaan juga akan meningkat.

Kita pergi ke kilang-kilang, dan cuba tanya kepada pekerja-pekerja di kilang itu, apakah cukup dengan pendapatan mereka yang sekitar RM500.00-RM600.00, kemungkinan besar mereka akan menjawab, cukuplah sekadar keperluan mereka, jika mahu lebih, mereka akan melakukan kerja lebih masa, apakah ini keadilan sosial? Cukup untuk sekadar keperluan sendiri? Mereka langsung tidak terfikir tentang tanggungjawab sosial mereka untuk berkhidmat untuk masyarakat. Begitu juga dengan kerja lebih masa, hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, apakah ini keadilan sosial? Masyarakat kita terlalu kurang tentang kesedaran keadilan insan dan keadilan sosial.

Ada juga suara-suara yang menyatakan, jika semua orang kaya, lalu zakat yang dikeluarkan akan diberi untuk siapa? Ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Terlupakah mereka pada ujian Allah? Sebuah Negara yang kaya pasti akan mengalami kejatuhan dan kemerosotan ekonomi, jadi semasa inilah pungutan zakat dapat digunakan untuk menampung ekonomi yang merosot.

Jika ekonomi yang berteraskan Islam dan takwa yang seperti Khalifah Abu Bakar As Siddiq contohkan, semasa mula-mula Abu Bakar tiba di Madinah, beliau telah membeli sebuah perigi milik Yahudi dengan menggunakan kekayaannya, lalu diwakafkan kepada kegunaan muslim secara percuma, kerana sebelum itu Yahudi menjual air perigi itu kepada Umat Islam. Lihat bagaimana contoh yang dibawa oleh Saidina Abu Bakar as Siddiq ini. Sikap sebigini sukar untuk kita jumpai dalam masyarakat melayu-Islam hari ini dan seluruh masyarakat Islam pada keseluruhannya.

Projek Koridor (Kaki lima)

Dahulu heboh dengan pembangunan koridor sana-sini, unutk memajukan seluruh Negara, aku juga gembira jika kekayaan ekonomi Negara dapat dikongsi seluruh Negara dan semua rakyat dapat merasainya. Tetapi cara perlaksanaanya amat mengecewakan aku, cara perlaksanaanya masih tetap seperti cara yang dahulu. Di kampung aku, nun jauh di utara, ada nelayan kecil-kecilan yang ke laut untuk mencari rezeki, cari makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jika dapat lebih diguna untuk bayar hutang. Atas nama projek koridor utara, maka pengkalan atau jeti sampan tempat mereka menurunkan hasil telah dibuat baru, dari kayu tukar ke batu, besar, suka mereka kerana dapat jeti baru, menampakkan kemajuan kampung kata mereka. Bingung aku, kemajuan apa? Jumlah hasil tangkapan dan pendapatan mereka tidak akan meningkat kerana jeti baru itu. Bukankah kerajaan sepatutunya memberikan sampan baru yang lebih besar kepada mereka, memberikan enjin yang lebih besar, menghantar mereka ke kursus untuk penangkapan ikan yang lebih berkesan, inilah sahaja cara untuk menambahkan pendapatan mereka, dengan sampan dan enjin yang lebih baik, mereka dapat pergi lebih jauh untk menangkapkan ikan dan menambahkan pendapatan mereka. Dengan Jeti baru, hutang mereka tidak akan berkurangan, usaha ini sangat berkurangan. Sekarang ini nelayan-nelayan di kampong aku masih menggunakan basikal-basikal tua dan motorsikal-motorsikal lama dan tidak akan dapat membeli kereta yang baru. Aku yakin dalam kerajaan ada golongan yang bijak pandai, tetapi mengapa sebaliknya idea yang mereka hasilkan, ataupun cadangan mereka ditolak mentah-mentah. Yang lebih memburukkan keadaan, kontraktor yang membangunkan jeti juga datang dari bandar-bandar dan kitaran kekayaan tidak mengalir kepada penduduk-penduduk kampung. Tidak keterlaluan juga untuk aku mengatakan bahawa kontraktor-kontraktor yang mendapat tender projek juga ialah dari kalangan “kroni”. Ini ialah antara contoh yang dapat dijadikan gambaran mengapa sistem ekonomi kita tidak dapat dijana dengan baik.

Ini bukan artikel politik sempit dan murahan tetapi aku tidak lihat dengan jelas konsep keadilan sosial dan keadilan insan di Malaysia. Jika anda Nampak, cuba tunjukkan pada saya dengan jelas. Aku mahu lihat Negara Malaysia yang tercinta ini menjunjung konsep Islam dari semua aspek.

Tiada ulasan: