16 Oktober 2009

Murugiah saman Kayveas RM10 juta

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah hari ini memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta terhadap Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas.

Saman itu adalah berhubung kenyataan media oleh Kayveas dan disiarkan oleh beberapa media cetak dan elektronik yang didakwa Murugiah palsu dan berniat jahat.

Ia difailkan oleh peguam Murugiah, Francis Pereira di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 2.30 petang.

Murugiah, yang bertindak sebagai plaintif, dan menamakan Kayveas sebagai defendan bagaimanapun tidak hadir sama di mahkamah bagi pemfailan saman itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Murugiah mendakwa Kayveas telah beberapa kali membuat kenyataan palsu yang berniat jahat terhadapnya dalam beberapa sidang akhbar dan mengetahui bahawa kenyataan itu akan disiarkan dalam media cetak serta elektronik.

Murugiah, yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi PPP, mendakwa pernyataan berkenaan diterbitkan oleh akhbar Berita Harian, The Star and The New Sunday Times pada 10 Mei lepas, The New Straits Times Online pada 11 Mei serta di TV3 pada 9 Mei lepas melalui satu temuramah.

"Penerbitan media yang dibuat adalah daripada kenyataan asal defendan yang mendapat kebenaran daripadanya (Kayveas) untuk diterbitkan dan dalam keadaan ini beliau bertanggungjawab terhadap semua penerbitan itu.

"Pernyataan yang dituturkan itu adalah jelas memfitnah yang bermaksud hendak merendahkan saya yang memegang jawatan sebagai senator, timbalan menteri dan ahli Majlis Tertinggi PPP.

"Akibat daripada itu, ia telah mencemarkan nama baik saya dan membawa saya kepada satu penghinaan dan menjejaskan reputasi saya," dakwanya.

Sehubungan itu, selain memohon ganti rugi am sebanyak RM10 juta, Murugiah juga memohon ganti rugi teruk atau teladan, kos lain dan injunksi untuk menghalang fitnah seumpama diterbitkan lagi. BERNAMA

MalaysiaKini/-

Tiada ulasan: