16 November 2009

1Malaysia, Kelantan terus dianak tiri

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya indah khabar dari rupa apabila rakyat Kelantan terus dianak tirikan kerajaan pusat hanya kerana negeri itu ditadbir oleh PAS.

Contoh yang paling nyata adalah keengganan kerajaan pusat membina tembatan banjir di Sungai Golok, walaupun peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-7 lagi.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, jika kerajaan benar-benar berhasrat mendahulukan rakyat, pembinaan tembatan banjir itu harus disegerakan memandangkan rakyat di kawasan itu sering berhadapan dengan bencana alam itu.

“Saya dimaklumkan peruntukan untuk tembatan Sungai Golok ini telah diluluskan sejak RMK ke-7 lagi. Tapi sampai sekarang tak buat, tak tahu ke mana peruntukan itu.”

“Tembatan banjir ini perkara yang perlu diambil tindakan serius kalau betul-betul kerajaan kata rakyat diutamakan.Saya sebagai ahli parlimen Rantau Panjang mintaklah beri keutamaan kepada pembinaan benteng banjir ini,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen baru-baru ini.

Menurut Zailah, penduduk Rantau Panjang terpaksa menghadapi risiko kerosakan dan kerugian harta benda setiap kali berlakunya banjir di kawasan itu pada musim tengkujuh.

Limpahan air Sungai Golok itu turut melumpuhkan kegiatan harian penduduk dan peniaga di pekan Rantau Panjang yang merupakan Zon Bebas Cukai terkenal.

Kedudukan Rantau Panjang yang bersebelahan dengan Thailand makin merumitkan keadaan kerana negara itu membina benteng yang tinggi di sepanjang sungai Golok. Ini menyebabkan air hujan mengalir ke sebelah Kelantan kerana kedudukannya yang rendah dan tiada benteng yang menghalang air.

“Ekonomi rakyat Thailand tidak lumpuh walaupun musim hujan. Sebaliknya ekonomi rakyat Rantau Panjang yang terjejas teruk. Rakyat terpaksa tutup kedai, rugi beribu-ribu, tanaman ditenggelami air, binatang ternakan hanyut,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tegasnya, kerajaan harus mengambil tindakan yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan untuk jangka masa panjang, bukan sekadar menghabiskan wang memberikan pampasan setiap kali berlakunya banjir.

“Kerajaan bagi pampasan 500 ringgit kepada setiap mangsa banjir.Berapa juta kerajaan terpaksa habiskan duit untuk bagi pampasan.Lebih baik kerajaan guna duit itu buat tembatan untuk jangka masa panjang,” tegasnya.

Apa yang lebih dikesalkan ujarnya, apabila kerajaan pusat tidak berlaku adil dalam memberikan bantuan banjir kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hanya diberikan kepada penyokong-penyokong Umno BN sahaja.

Ini dimaklumkan sendiri oleh salah seorang pegawai JPP kepada beliau.

“Pegawai daripada jabatan pembangunan persekutuan dedahkan kepada saya bagaimana ada seorang pegawai JPP yang memang orang umno kuatlah.Dia kata nama-nama yang diberikan ini, siapa orang BN akan diberikan surat tawaran untuk terima bantuan banjir.Yang bukan BN, dia tak akan bagi walaupun tenggelam air,” ujarnya.

Beliau turut mendesak agar JPP dimansuhkan di Kelantan kerana ternyata bersikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Masih berlaku diskriminasi dalam menyalurkan bantuan.sebab melalui JPP. JPP tak akan bagi keadilan kepada rakyat. Sebab itu saya tegaskan, jangan benarkan sebarang bentuk bantuan disalurkan melalui JPP.Ini wang rakyat.bukan wang Umno.Mereka guna wang ini untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya.

Minggu lalu seramai 2,031 mangsa banjir di seluruh negeri dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kawasan sekitar. Harakahdaily/-

1 ulasan:

ahliNujumNegara berkata...

Sekarang Pakatan Rakyat sudah berdaftar
Bergeraklah Diatad Falasafah
Yang Mana Parti
Yang Mana Pakatan!!!

PR Sudah ber Daftar
Tunjukkan Belang
Tunjukkan Taring
Tunjukkan Kuku

PR sudah Daftar
Buktikan Boleh Jadi Striker
Bawa Bola Hingga Sumbat Gol
Dihadapan PENGUNDI
di GELANGGANG SENDIRI