28 Februari 2010

Khidmat PAS bantu penghuni Lorong Haji Taib

13 Rabiul Awwal 1431H
Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 27 Feb: "Taufik dan hidayah datangnya dari Allah, kita ni berusaha untuk menyentuh hati-hati mereka," kata Dr Lo'Lo' Ghazali dengan penuh harapan dapat memberi kebaikan dan bantuan kepada penghuni di sekitar lorong Haji Taib, di sini.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melancarkan kaunter perkhidmatan kebajikan PAS di hadapan pejabat agungnya, petang semalam.

Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter khidmat guaman, khidmat kesihatan, khidmat kaunseling dan khidmat perubatan Islam selain memberi makanan dan minuman percuma kepada masyarakat di sekitar situ.

Lebih kurang 100 masyarakat sekitar yang hadir bagi mengambil peluang mendapatkan khidmat-khidmat yang disediakan turut menarik perhatian kenderaan yang lalu di Jalan Raja Laut, berhadapan dengan Pejabat Agung PAS.

"Kita mengharapkan warga Lorong Haji Taib kini yang agak terbiar, dan ada yang telah tersasar, dapat kita dekati, dapat kita santuni dan insyaAllah kalau boleh kita merubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik," kata Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatn PAS Pusat ketika ditemui.

"Mungkin kita kata mereka ni setengahnya sudah agak tegar, pekerja seks tegar, tetapi kita masih lagi meletakkan harapan, Allah Maha Pengampun, dan kita juga hendaklah bersikap begitu.

"Saya harap masyarakat juga memberi peluang kepada mereka sebab kita tahu antara mereka ada yang telah bertaubat (dan) meninggalkan perangai buruk mereka ni," tambahnya.

Dr Lo' Lo' juga mengharapkan program itu digerakkan di peringkat negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Harakahdaily.net/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas YB. Satu usaha yg bagus dan sudah tentu mendapat ganjaran dari Allah.

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Syukur alhamdulillah, semoga kaunter perkhidmatan kebajikan PAS sentiasa di gerakkan oleh ahli2 PAS yg komited, yg dapat membantu warga lorong Haji Taib itu ke arah hidup yg di redhai Allah.

Jihad ini sangat besar ertinya iaitu membawa mereka berhijrah kearah mencari keredhaan Allah.

Semoga usaha2 ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan di harap semua ahli2 PAS di Lembah Kelang sama2 memberikan bantuan dari tenaga dan moral dan kewangan bagi membantu warga2 Lorong ini.

Ingatlah, Islam dan Rasulullah SAW itu adalah pembawa rahmat kepada sekalian alam.

Tanpa Nama berkata...

syabas, smoge usaha ini berterusan...