07 Mei 2010

Muslimat Lenggong dekati masyarakat dengan pertandingan memasak

22 Jamadil Awal 1431H.
Khairul Azman Sakri

Dr Siti Mariah diiringi Hajjah Hapipah sampaikan hadiah kepada pemenang pertama pertandingan masakan Tepung Talam.



LENGGONG: Pertandingan masak tepung talam, puding dan gubahan daripada tuala anjuran Dewan Muslimat PAS kawasan baru-baru ini meriah dengan kehadiran Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang diberi penghormatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Ketua Penerangannya, Hajjah Mariam Abdul Latif, berkata program bermula jam 2.30 petang itu juga berjaya menarik penyertaan wanita bukan ahli PAS yang turut memenangi pertandingan.

Katanya, program yang turut diisi majlis bacaan yasin dan zikir munajat itu dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Haji Zakaria sebelum motivasi disampaikan Dr Siti Mariah.

"Penyertaan amat menggalakkan, malah ada beberapa wanita termasuk dari Umno turut menyertai pertandingan masak tepung talam, puding dan gubahan.

"Muslimat PAS Lenggong amat berterima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk yang belum meyertai PAS yang tidak segan silu untuk bersama dalam majlis PAS," katanya.

Turut hadir pada program bertempat di pekarangan rumah Hajjah Mariam itu Ketua Dewan Muslimat PAS Lenggong, Hajjah Hapipah Seman.

Hajjah Marian berkata, program-program seumpama itu akan diadakan lagi pada masa-masa depan dengan penyertaan lebih terbuka dan hebahan yang lebih meluas lagi.

Katanya, program itu bersambung dengan program ceramah umum pada sebelah malamnya, di mana Dr Siti Mariah sendiri sebagai penceramah utama dan dua yang lain, iaitu Timbalam Pengerusi Dewan Perhimpunan penyokong PAS Perak, Richard Wong dan Haji Razman.

Tiada ulasan: