02 Jun 2010

Sinar Islam untuk semua

18 Jamadil Akhir 1431 H
http://www.blogtokguru.com

Firman Allah SWT (Surah al-Mumtahanah 60:8):

yang bermaksud : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu Karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Penganjuran ”Seminar Hubungan Muslim – Non Muslim Dalam Konteks Malaysia” pada saya adalah memenuhi dan sangat tepat pada masanya. Ini kerana kita seringkali dihidangkan dengan isu-isu panas yang melibatkan pertikaian antara kaum dan agama yang ditimbulkan oleh piha-kpihak tertentu semata-mata untuk menjaga kepentingan politik.

Perjuangan untuk Allah

Akhir-akhir ini, pertembungan ini dilihat semakin dahsyat ditambah pula oleh peranan media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang marak. Jika dahulu, parti-parti seperti PAS dilabel sebagai parti perkauman, rasis, radikal dan sebagainya, maka hari ini seolaholah label itu telah bertukar arah dan dipakai pula oleh golongan yang dulunya mendakwa liberal.

Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif yang dipakaikan oleh pihak media massa langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti merupakan tuduhan yang tidak berasas semata-mata.

Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT selaku pencipta alam semesta.

Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa Pencipta. Akal logik tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini.

Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan mengurus tadbirnya. Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama.

Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.

Asal manusia dari Nabi Adam

Dalam ajaran Islam, Kuasa Yang Maha Mencipta ini disebut Allah SWT. Dialah Tuhan yang menciptakan alam ini untuk kehidupan manusia. Dialah juga yang menciptakan manusia bermula dari seorang lelaki yang dinamakan Adam dan dijadikan pula dari Adam itu isterinya Hawa. Ini disebut di dalam firmanNya (surah an-Nisa’ 4:1):

yang bermaksud : Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang Telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.

Merujuk kepada firman Allah SWT ini, agama Islam mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan.

Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap merupakan anak cucu kepada Nabi Adam. Justeru, langsung tidak timbul soal bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia.

Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada bangsa yang lain.

Realiti perjuangan Islam

Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT.

Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS.

Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal. Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah.

Allah itu yang disembah di dalam sembahyang, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.

Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT.

PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.

Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.

Peraturan Islam jamin keamanan semua manusia

Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Lihatlah perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam, kesemuanya merupakan perkara-perkara yang memudaratkan.

Menghindarinya bermakna mengamankan hidup kita. Ini kerana mencuri, merompak, berzina, menipu, rasuah, menyeleweng, khianat yang kesemuanya diharamkan oleh Islam turut ditolak oleh kesemua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Demikian juga perkara-perkara yang diwajibkan atau digalakkan oleh Islam seperti mentaati pemimpin, mematuhi ajaran nabi, bercakap benar, menepati janji, tidak menipu, menghormati orang tua, menghormati semua agama, menghubungkan persaudaraan adalah kesemuanya merupakan nilai-nilai yang baik dan diterima secara universal.

Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk kita menolak ajaran Islam. Jika semua kita menerima pakai ajaran Islam dan boleh menepikan seruan kedaulatan bangsa tertentu sehingga mengguris bangsa lain, saya yakin ia akan mengurangkan ketajaman perselisihan antara kaum yang sedang diasah oleh pihak-pihak tertentu dalam negara kita.

Inilah dasar Islam yang cukup adil dan mulia. Maka sesuai dengan maksud al-Quran yang telah dirujuk pada awal di atas, ia jelas menunjukkan bagaimana perintah Allah SWT sendiri supaya melakukan kebaikan kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam.

Atas perintah Allah inilah bagi pihak kerajaan yang berkuasa adalah menjadi tanggungjawab memberi keadilan dan layanan yang baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial mereka.

Menerima pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi

Atas kemuliaan ajaran Islam, maka usaha untuk memperkenalkan Islam yang sebenar turut dilakukan oleh tokoh intelek Islam terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melalui bukunya “Golongan Nonmuslim di dalam Masyarakat Islam”.

Buku ini adalah antara hidangan istimewa yang sesuai untuk kita hadam dan diskusikan oleh semua pihak ke arah memahami Islam dan menolak prejudis terhadap Islam. Secara peribadi, saya telah mengikuti pandangan beliau semenjak saya pulang ke tanah air sekitar tahun 1960-an.

Saya mula menggunakan kitab beliau iaitu ”Islam dan Sekular : Satu Pertentangan” di dalam majlis pengajian yang saya kendalikan. Satu demi satu kitab beliau saya habiskan hinggalah ke hari ini, saya menggunakan kitab karangan beliau iaitu Fiqh Daulah di
dalam majlis pengajian saya.

Sepanjang pengkajian saya terhadap pendekatan yang digunakan oleh beliau, nyata sekali beliau merupakan seorang tokoh intelek yang mengamalkan pendekatan sederhana. Beliau tidak ekstrim dalam mengemukakan pandangannya, dan tidak pula menolak mentah-mentah pandangan orang lain.

Sesuai dengan pengalaman yang pernah terlibat dengan usaha dakwah Islamiah menerusi pertubuhan Ikhwanul Muslimin, maka pandangannya dilihat rasional dan berssandarkan pengalaman praktikal serta sesuai untuk direalisasikan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia ini.

Justeru, ketokohannya diiktiraf oleh dunia dengan pelbagai anugerah yang diperolehi termasuklah dua anugerah dari Malaysia iaitu anugerah Ijazah Kehormat dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1996 dan terbaru sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat
kebangsaan pada tahun 2009.

Semoga pandangan-pandangan sederhana beliau seperti yang ditulis di dalam banyak bukunya dapat diterima pakai sebagai asas membina hubungan yang harmoni di antara Muslim dengan Nonmuslim di Malaysia.

Sinar Islam memenuhi harapan

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu.

Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu.

Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam, ingatlah, sesungguhnya Allah SWT hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam.

Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya sebagaimana firmanNya (surah Muhammad :38):

yang bermaksud : dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul AMm PAS.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: