07 Jun 2010

Dong Shi Xiao Pin : Seperti Dong Shi Meniru Gaya Jelitawan Mengerut Dahi

24 Jamadil Akhir 1431H.



Peribahasa "Dong Shi Xiao Pin", yang boleh diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai "seperti Dong Shi meniru gaya jelitawan mengerut dahi", membawa pengertian yang sama dengan "Han Dan Xue Bu". Ceritanya begini:

Pada zaman purba kala, di Negeri Yue, ada seorang wanita yang terkenal kerana kejelitaannya. Namanya ialah Xi Shi. Malangnya si cantik ini menghidap penyakit jantung sejak masih muda. Setiap kali diserang sakit jantung, dia akan mengerut dahinya dan tangannya akan mendakap dadanya dengan kuat.

Dong Shi, seorang wanita yang sangat hodoh ialah seorang jiran Xi Shi. Pada suatu hari, ketika dia bersiar-siar di kawasan sekitar kampung, dia bertemu dengan Xi Shi. Dia berasa amat iri hati terhadap kecantikan Xi Shi. Jadi, selepas balik ke rumahnya, dia memutuskan untuk meniru gaya Xi Shi, sama ada gaya berjalannya mahupun gaya Xi Shi mengerut dahi.

Maka, setiap kali dia keluar bersiar-siar di kawasan sekitar kampung, dia sengaja mengerut dahinya sambil meletakkan tangan pada dadanya.

Malangnya, setiap kali melihat gaya si hodoh itu, penduduk di kampungnya segera mengunci pintu rumah masing-masing dengan ketat, kerana semua mereka takut melihat wajahnya

Dalam cerita ini, si hodoh itu telah menyalahfahamkan gaya mengerut dahi yang dilakukan oleh Xi Shi sebagai sejenis kecantikan yang luar biasa. Namun, dia tidak tahu mengapa perbuatan tersebut boleh menjadikan seseorang kelihatan lebih cantik. Pada hakikatnya, perbuatannya itu pula mengakibatkan wajahnya menjadi bertambah hodoh dan dia semakin dijauhi orang.

Sekarang, kita menggunakan peribahasa ini untuk mempersenda perbuatan meniru kelebihan orang lain secara membuta tuli yang hanya akan mendatangkan hasil yang negatif. CRI/-

Tiada ulasan: