21 Jun 2010

Ilpas: PAS persiap hadapi pilihan raya


Zulkifli Sulong

HULU SELANGOR, 20 Jun: PAS melancarkan Institut Latihan Pilihan raya PAS (Ilpas) hari ini dengan harapan untuk mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya yang disifatkan berbeza sama sekali dengan peperangan.

"Pilihan raya adalah memujuk orang bersama kita sedangkan perang untuk takluk dan halau orang," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap melancarkan gerak kerja Ilpas di Batang Kali hari ini.

Sehubungan itu, beliau hari ini menyerahkan empat modul utama Ilpas kepada pengarah pilihan raya bagi setiap negeri.

Modul itu adalah dasar PAS, undang-undang pilihanraya, terknikal dan strategi pilihan raya.

Modul ini akan dijadikan asas latihan untuk petugas pilihan raya PAS bagi setiap negeri yang akan bermula minggu depan.

Jabatan Pilihan raya PAS (JPP) akan turun ke negeri-negeri di mana 50 peserta akan dipilih untuk dilatih dan dijadikan pakar pilihan raya bagi setiap negeri.

Pengarah Ilpas adalah Mohd Abdul Wahid Endut, timbalan ketua pengarah JPP yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau dibantu empat naqib atau ketua bagi setiap modul yang dibentuk itu.

Dengan pembentukan Ilpas, PAS dianggap paling ke depan dalam latihan pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, melalui Ilpas, semua petugas akan dilatih agar memahami dengan baik apa yang diperlukan dalam sistem demokrasi.

"Kita kena faham, Islam adalah bersama dengan prinsip kuasa rakyat dan menentang diktator di samping menolak pemerintah yang zalim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Ru Rendang.

Untuk melaksanakan perkara ini, sebagaimana zaman awal Islam, PAS membina ahli induk dahulu.

"Inilah yang PAS buat dan akan dibuat oleh Ilpas," kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menerangkan dengan jelas konsep demokrasi dan pemimpin yang perlu mendapat sokongan majoriti dalam ucapannya.

"Perlantikan khalifah Islam pertama Abu Bakar As Siddiq adalah melaliu prinsip ini kerana Islam sedar peri pentingnya pemimpin yang mendapat sokongan majoriti rakyat," katanya.Harakahdaily/-

Tiada ulasan: