22 Jun 2010

Tukang Kimpal Ma Weixiong dan Pisau Etnik Bonan (2)

8 Rejab 1431 H

Ma Weixiong mula belajar menempa pisau daripada ayahnya sejak berumur 10 tahun. Mula-mulanya, beliau selalu ditegur ayahnya kerana lambat untuk menguasai teknik menempa pisau. Namun beliau belajar bersungguh-sungguh dan semakin mahir dalam mengimpal pisau sehingga teknik beliau hampir dapat menyaingi ayahnya.

Beliau pandai menempa pisau "Shiyangjin" dan pisau "Xiguatou". Pisau kembar "Shiyangjin" yang sepanjang 16.5 centimeter telah mendapat sambutan baik dalam Pesta Kesenian Etnik Bonan pada tahun 2000. Sejak itulah, pisau yang dihasilkannya menjadi jenama yang terkemuka. Ma Weixiong mengekalkan kaedah tradisional untuk menghasilkan pisau dan keseluruhan pisau itu dibuat dengan tangan. Maka, jumlah penghasilannya tidak banyak, iaitu hanya dua bilah pisau setiap hari.

Menurut Ma Weixiong, proses yang paling penting adalah ketika mencampurkan gentian keluli ke dalam bancuhan, kerana ini berkait rapat dengan mutu pisau berkenaan. Katanya, pada masa dahulu, pisau etnik Bonan digunakan untuk mempertahankan diri atau untuk kegunaan dalam kehidupan sehari-harian, seperti menyembelih kambing, memotong sayur-sayuran dan lain-lain. Namun, seiring dengan perkembangan teknik berkenaan, pisau etnik Bonan telah menjadi kraf tangan etnik Bonan yang unik. Ramai pelancong membeli sebilah pisau etnik Bonan sebagai hadiah kenangan ketika mengunjungi Dahejia. Oleh sebab itulah, pisau etnik Bonan semakin cantik rupanya.

Terdapat banyak proses dalam menghasilkan Pisau Etnik Bonan, dan untuk membuat pisau jenis yang berlainan, prosesnya juga berbeza. Proses yang paling rumit adalah untuk membuat Pisau "Shiyangjin" dan Pisau Tibet. Sebab itulah harga pisau itu juga lebih mahal, iaitu lebih kurang 300 hingga 400 yuan RMB sebilah.

Ma Weixiong memberitahu wartawan biasanya teknik membuat pisau diwariskan oleh bapa kepada anaknya. Tukang besi etnik Bonan yang paling pandai membuat pisau adalah daripada keluarga Ye dan keluarga Ma. Ada yang mahir membuat kira-kira 20 jenis pisau.

Menyentuh tentang punca kurang berkembangnya teknik tempa pisau etnik Bonan Ma Weixiong menyatakan jumlah orang etnik Bonan tidak ramai, lebih-lebih lagi ramai orang muda etnik Bonan yang tidak berminat lagi pada menempa pisau seiring dengan perkembangan modenisasi masyarakat. Selain itu, ramai di kalangan tukang pisau generasai tua etnik Bonan yang telah meninggal dunia seorang demi seorang tanpa mewariskan teknik menempa pisau kepada generasi muda. "Kematian mereka merupakan kerugian yang amat besar bagi pewarisan pisau etnik Bonan".

Namun, yang menggembirakan Ma Weixiong ialah kerajaan semakin memberi perhatian terhadap usaha perlindungan warisan budaya bukan benda pelbagai etnik di seluruh China. Banyak teknik kesenian pelbagai etnik dapat dipelihara dengan baik dan diwariskan turun-temurun. Ma Weixiong juga telah dipilih menjadi salah seorang daripada dua orang pewaris teknik menempa pisau etnik Bonan di Gansu.

Beliau dan Ye Sali, seorang pewaris lagi teknik menempa pisau etnik Bonan bersama-sama menyertai "Pameran Teknikal Tradisional Warisan Budaya Bukan Benda China" di Beijing pada bulan Februari tahun ini. Ramai pemimpin kerajaan China telah mengunjungi pameran tersebut. Teknik menempa pisau etnik Bonan telah mendapat perhatian yang besar oleh masyarakat.

Dalam bunyi ketukan besi ini, sebilah demi sebilah pisau yang cantik dan berguna telah dihasilkan. Juga dalam bunyi tersebut, Etnik Bonan sedang membina kehidupan yang bahagia dengan rajin berusaha.

cri/-

Tiada ulasan: