27 Julai 2010

Jambatan Labuan: Muhyiddin kecewakan rakyat Sabah

14 Syaaban 1431 H
Oleh: Yang kecewa

Cadangan untuk membina jambatan dari Wilayah Persekutuan Labuan ke tanah besar Sabah di Menumbuk, barat daya Sabah telah lama diuar-uarkan baik di peringkat negeri mau pun Persekutuan. Apa yang kita tahu cadangan itu telah disuarakan sejak tahun 1997, dan kajian demi kajian telah dijalankan di mana pihak UMS cawangan WP Labuan telah diamanahkan untuk membuat kajian dengan kos RM5 juta.

Terakhir sekali semasa lawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik telah memaklumkan bahawa hasil kajian akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2009. Saya percaya yang hasil kajian telah diperolehi tetapi mungkin belum sampai ke pengetahuan Perdana Menteri.

Rakyat di Labuan dan di tanah besar Sabah khususnya mengharapkan agar keputusannya dapat diketahui menjelang pembentangan bajet rancangan Malaysia kesepuluh,tapi malangnya sedikit pun tentang perkara tersebut tidak dirumuskan sehingga hari ini.

Namun apa yang paling memeranjatkan dan mengecewakan kami adalah bila mana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan dalam akhbar tempatan Daily Mail keluaran Jumaat 23 Julai 2010 yang mengatakan jangan mengharap bulan jatuh ke riba bagi projek tersebut dan menambah bahawa kos pembinaan yang dianggar menelan belanja RM2 hingga RM3 bilion adalah tidak berbaloi.

Persoalannya kini, di mana sudah perginya keperihatinan kerjaan pusat terhadap kami di Malaysia Timur yang telah menyumbang kemenangan besar kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu? Di manakah slogan dan laungan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan? Adakah kerajaan pusat hanya akan mengumumkan kelulusan projek tersebut dalam kempen pilihanraya umum ke 13 akan datang bagi mengambil hati rakyat?

Jika Pulau Pinang boleh mendapatkan kelulusan bagi jambatan kedua dalam tempoh yang singkat, saya tidak nampak rasionalnya mengapa di sini diibaratkan sebagai anak tiri? Kami juga dapat merasakan yang Ahli Parlimen Labuan tidak begitu serius dalam memberi hujah mengenai keperluan rakyat di sini. Adalah lebih baik letak jawatan saja.

Perkhidmatan feri yang ada sekarang sangat sangat tidak efisyen ekoran keadaannya yang sudah terlalu tua, yang hanya layak untuk dilupuskan sebagai besi buruk. Tidak dinafikan selama lebih 10 tahun feri Wawasan Perdana beroperasi secara solo dan memonopoli di bawah Labuan Ferry Corporation (LFC). Feri ini sering kali mengalami kerosakan di mana pada suatu ketika, tahun lepas hanya boleh beroperasi dengan cara ditarik oleh bot tunda.

Alasan untuk mengganti atau menambah perkhidmatan dari syarikat lain telah lama disebarkan,namun hasilnya sama juga.Pernah pada suatu ketika ada perkhidmatan feri penumpang yang beroperasi tetapi mendapat tentangan dari pihak LFC di mana perkhidmatan tersebut terpaksa dihentikan dek kerana sikap tamak LFC yang mahu memonopoli.

Kami memikirkan secara lojiknya bahawa dengan adanya jambatan, maka pergerakan kami untuk menyeberang sama ada dari Labuan ke tanah besar dan sebaliknya akan lebih memudahkan sama ada dari segi masa dan perbelanjaan, dan lebih lebih lagi pada masa masa kecemasan di waktu malam bila mana feri bersandar di jeti.

Tidakkah Tan Sri Muhyiddin Yassin menimbangkan hali ini? Cuba dan rasakan sendiri betapa rumit dan membosankan perjalanan hampir 2 jam menaiki feri wawsan perdana yang bukan saja perlahan tetapi sering kali lewat dari jadual.

Menyentuh tentang perjalanan melalui udara, hanya orang orang yang mampu saja boleh naik kapal terbang dengan kadar tambang melebihi seratus ringgit berbanding beberapa tahun lalu hanya di bawah seratus ringgit.

Ambil satu contoh, bagaimana jika berlaku kecemasan, ada pesakit yang perlu dan harus dibawa dari Labuan dengan ambulan untuk ke hospital besar di Kota Kinabalu pada masa selepas tiada perkhidmatan feri di sebelah malam? Adakah kita kena tunggu sehingga esok? Saya rasa pesakit akan mati sebelum sempat dibawa. Maka fikir-fikirkanlah.

Kerajan jangan hanya memikirkan akan keuntungan saja di samping pembinaan jambatan, kenalah berkorban demi rakyat, barulah rakyat sejahtera. Jika kerajaan tidak mampu menanggung kos pembinaan, saya rasa ada pihak konsortium yang berminat untuk membina. Bukan tak biasa, contohnya PLUS yang telah membina jalanraya di Semenanjung. Lebuhraya di Sabah layak dipanggil jalan kampung jika dibandingkan dengan Semenanjung.

Yang paling menyulitkan adalah bila tiba musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Krismas dan musim cuti persekolahan. Amat sukar untuk pergi ke tanah besar Sabah dari Labuan dan sebaliknya, sebab kita kena buat tempahan jauh lebih awal iaitu seawal satu atau dua bulan untuk mendapatkan tempat dalam feri wawasan perdana untuk mereka yang berhasrat membawa kenderaan, sebab feri tersebut hanya mampu membawa dalam lingkungan 50 hingga 60 buah kenderaan sahaja dalam satu satu masa, lebih-lebih lagi jika banyak kenderaan besar seperti lori tangki, maka bilangan kenderaan kecil tidak dapat dimuat banyak.

Ini satu lagi ketidakpuasan yang dihadapi pengguna, walaupun perkhidmatan ditambah dari 2 ke 3 kali sehari. Tentunya banyak masa terbuang. Kadang kala ada juga yang hampa jika tiada tempat langsung.Tetapi kalau ada jambatan, orang boleh pergi dan balik pada bila-bila masa dalam 24jam. Kecuali jika ada banyak feri yang boleh membawa kenderaan dan beroperasi siang malam tanpa henti. Adalah dianggarkan lebih 300 ke 400 kenderaan menggunakan perkhidmatan feri tersebut setiap hari, dan akan meningkat di musim perayaan.

Saya percaya dengan adanya jambatan mungkin bilangan kenderaan yang berulang alik akan bertambah, lebih-lebih lagi sekarang ramai rakyat dari negara jiran Brunei Darusalam datang ke Sabah setiap hari dengan kenderaan, begitu juga dari negeri jiran Sarawak.

Luahan saya ini tidak bermaksud menghina atau mengaibkan sesiapa, tetapi lahir dari hati naluri yang amat kecewa, dan saya meluahkan ini demi generasi akan datang dan untuk semua. Nasihat saya pada yang berkenaan, berpijaklah di bumi nyata. Bandar Iskandarmu kini megah dan mengkagumkan, kami juga dahagakan pembaharuan baik dari segi infrustruktur dan kemudahan awam.

Kami bukan lagi rakyat yang sanggup jadi pak turut tetapi kami adalah penentu masa depan siapa yang harus memegang tampuk kerajaan dalam PRU akan datang.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: