27 Julai 2010

Elok Mufti Perak nasihat Umno elak bercakaran

14 Syaaban 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Julai: Isu kesungguhan Umno dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengajak PAS menjalin perpaduan turut mendapat perhatian pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia.

Mereka mengambil kesempatan tersebut dengan mengajukan isu berkenaan kepada anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa ketika berada di Acheh, Khamis Khamis lalu.

Pelajar terbabit bergabung di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Aceh (PKPMICA).

Merungkai persoalan itu, Husam meminta Mufti Perak supaya menyatukan ahli-ahli Umno dahulu sebelum menjadi orang tengah bagi menyatukan parti PAS dan parti berteras kebangsaan tersebut.

“Ahli-ahli Umno pun dok berbalah sesama sendiri. Lihat apa yang berlaku di Rantau Panjang dan Sungai Petani, macam mana PAS dan Umno nak bersatu.

“Sepatutnya Tan Sri Harussani memberi nasihat kepada ahli Umno dahulu supaya tidak bercakaran sesama mereka, barulah boleh jadi orang tengah menyatukan PAS dan Umno,” katanya ketika diaju soalan oleh seorang pelajar Malsysia pada perjumpaan tersebut.

Husam bersama delegasi dari Kelantan berada di Acheh pada 21 hingga 23 Julai lalu bagi mengadakan kerjasama lebih erat dengan pemerintah wilayah berkenaan. Mereka turut mengunjungi hormat wakil Gabenor di pejabat pemerintah.

Mufti Perak minggu lepas mengesahkan pemimpin Umno dan PAS menemuinya bagi membincangkan kerjasama kedua-dua parti berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam.

Menurutnya beliau tidak pernah berputus asa bagi menyatupadukan orang Melayu dengan mengharap kerjasama antara Umno dan PAS.

Bagaimanapun anggota Exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mengesahkan bertemu dengan Harussani dua bulan lalu bukan membincangkan perpaduan di antara Umno dan Umno.

Menurutnya pertemuan tersebut diadakan secara terbuka sebagai mewakili kerajaan Selangor.

Husam yang juga anggota jawatankuasa PAS Pusat berkata, isu penyatuan antara PAS dan Umno dianggap membuang masa sahaja.

Katanya juga kerjasama PAS bersama DAP tidak boleh dinilai seperti kerjasama PAS dan Umno.

“Kalau nak bandingkan kerjasama PAS dan DAP, sepatutnya kena bandingkan kerjasama Umno bersama MCA dan MIC.

“Jangan samakan kerjasama PAS dan Umno, itu tak betul dan tidak adil. Kenapa Umno boleh berkerjsama dengan MCA dan MIC, tetapi apabila PAS berkerjasama dengan DAP tak boleh,” katanya.

Beliau juga berkata, pemimpin Umno sekarang cuba mempengaruhi rakyat dengan mengatakan sekiranya Umno hilang kuasa, Melayu akan merana.

“Apabila Umno hilang kuasa, PAS boleh mengisi tempat tersebut. Sebenarnya apa yang hilang ialah kuasa untuk mengagih-agihkan projek kerajaan kepada kroni-kroni Umno dan menghabiskan harta rakyat,” katanya.

Pada majlis itu Husam menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada PKPMICA.
Seramai 150 pelajar Malaysia kini melanjut pengajian di Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry.

Kebanyakan mereka lepasan pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS). Turut sama dalam majlis perjumpaan itu Yang DiPertua PKPMICA, Mohd Zulkarnian Aman Ghazali.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: