07 Ogos 2010

Strategi siasah syariah

25 Syaaban 1431 H
Oleh: Subky Latif

SAYA mahu membentulkan kesilapan kecil Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas dalam rencana tetapnya di sebuah harian.

Tulisnya, Dato Onn menang dalam satu pihan raya kecil Parlimen di Terengganu. Dan itulah kemenangan pertamanya dan kemenangan terakhirnya.

Sebenarnya yang dimenanginya itu bukan pilihan raya kecil tetapi pilihan raya umum 1959. Dia mengalahkan calon Perikatan, Ungku Mohsin Abdul Kadir dalam perlawanan satu sama satu.

Dato Onn pernah menyertai pilihan raya Parlimen tiga kali. Yang pertama dalam pilihan raya pertama tahun 1955 di negerinya iaitu di Johor . Walau pun dia pemimpin Melayu yang terkemuka bukan saja di negerinya tetapi di seluruh Tanah Melayu, tetapi dia kalah di sarangnya sendiri. Tidak seorang pun calon Parti Negara yang dipimpinnya menang.

Kemudian adalah satu pilihan raya kecil jika tidak silap di Batu Pahat. Jika saya silap DKL (Dolah Kok Lanas) pula boleh betulkan saya. Batu Pahat adalah kubunya satu masa kerana dia pernah jadi Pegawai Daerah di situ. Dia juga kalah di situ.

Dalam Pilihan Raya Umum 1957, pilihan raya Parliman dan Negeri tidak serentak. Pilihan raya Parlimen diadakan setelah pilihan raya di negeri-negeri selesai.

Dalam pilihan raya negeri Terengganu, Parti Negara menang empat kerusi. Perikatan kalah dan PAS yang membentuk kerajaan. Parti Negara tidak menang di mana-mana melainkan di Terengganu saja.

Maka PAS memberi laluan kepada Dato Onn untuk bertanding dalam satu kawasan. Jika PAS tidak memberi laluan kepadanya, belum tentu Dato Onn boleh menang dalam pertandingan tiga penjuru. PAS pun belum tentu menang kalau bertanding melawan Dato Onn dan Ungku Mohsin.

Pemimpin PAS ketika itu ialah Dr. Burhanuddin Al-Hilmy. Dr. Burhanuddin adalah seteru politik Dato Onn yang memimpin UMNO. Dr. Burhanuddin memimpin parti Melayu yang pertama ditubuhkan iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Sambutannya adalah positif.

Kemudian Dato Onn menubuhkan UMNO bersaing dengan PKMM yang dipimpin Dr Burhanuddin. Apabila Darurat diisytibarkan tahun 1948, Inggeris mengharamkan PKMM tetapi UMNO tidak. Malah Dato Onn dan setengah penyokong UMNO dilantik menjadi menteri dalam kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang dijajah Inggeris.

Dato Onn sebagai menteri dalam negeri bertanggungjawab bagi pihak British mengenakan tahanan kepada pemimpin dan penyokong PKMM.

Tetapi dalam Pilihan Raya Umum 1959 itu Dr. Burhanuddin memberi laluan kepada seteru politiknya itu untuk bertanding di Terengganu dan Dato Onn menang. Tetapi beliau meninggal sebelum penggalnya berakhir.

Orang kuatnya Gharib Raof bertanding sebagai calon Parti Negara dalam pilihan raya kecil di kawasannya dan kalah.

Matilah Parti Negara selepas mati Dato Onn. Anak cucu Dato Onn tidak menyambung pimpinan partinya tetapi mereka meneruskan perjuangan UMNO yang tidak pernah disenangi oleh Dato Onn.

Mengapa Dr. Burhanuddin bersetuju memberi laluan kepada Dato Onn sedang Terengganu adalah negeri yang sudah diperintah oleh PAS?

Itulah siasah syariyah. Sebagai parti politik, PAS boleh bekerjasama dengan mana-mana lawan UMNO, supaya musuh yang lebih besar itu dapat dikurangkan pengaruhnya. Dengan memberi laluan kepada Dato Onn, Dato Onn dijamin menang dan sekalian penyokong Dato Onn di tempat lain memberi sokongannya kepada calon PAS.

Jika bertanding tiga penjuru dengan Dato Onn, PAS mungkin menang dan mungkin tidak menang. Dengan memberi laluan kepada Dato Onn, jelas Perikatan tidak menang.

Walau pun Parti Negara dan Dato Onn sudah menjadi seteru yang kecil, tetapi dengan keadaan yang ada, Dato Onn dan Parti Negara sudah tidak boleh pergi lebih jauh.

Poliltik kerjasama yang PAS tunjukkan itu adalah satu kematangan sementara ia membina kekuatannya bagi melebarkan pengaruh partinya.

Kaedah siasah syariyah yang sedemikian juga dibuat semasa PAS memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali, seorang yang dipecat UMNO untuk bertanding menggunakan lambang PAS di Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke 12.

Walaupun Datuk Ibrahim menjadi MP bebas dan kadang-kadang menyusahkan PAS, tetapi PAS ketika itu hanya ada majoriti satu kerusi di DUN Kelantan dan dalam Pihhan Raya Kecil di DUN Pasir Pekan dalam Parlimen Pasir Mas, PAS telah kalah.

Strategi memberi kerusi kepada Ibrahim Ali satu dari ikhtiar bagi mengekalkan pengaruh PAS. PAS dapat memenangi pilihan raya umum lalu dengan majoriti yang besar.

Ada pun Ibrahim Ali seorang itu biarkanlah. Ada dia pun tidak menguatkan sangat PAS dan tiada pun tidak pula melemahkan PAS.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: