05 Oktober 2010

Enjin jet hilang kembali ke M'sia

25 Syawal 1431 H

Mahkamah Uruguay telah memutuskan bahawa dua buah enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang kini berada di dalam pegangan kerajaan Uruguay adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menghubungi beliau tiga hari lepas bagi memaklumkan keputusan mahkamah itu.

"Kita akan menghantar satu pasukan terdiri daripada pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara ke Uruguay dalam bulan ini bagi mengambil semula enjin tersebut.

"Jabatan Peguam Negara sedang berusaha menterjemahkan keputusan mahkamah tersebut dalam Bahasa Sepanyol ke Bahasa Inggeris bagi memastikan kandungan dan maksud sebenar tidak mengelirukan mana-mana pihak dan dijangka proses ini akan mengambil masa selama seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur malam tadi.

Ahmad Zahid berkata proses pengurusan membawa pulang enjin tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata proses itu merupakan perkembangan yang positif di dalam pengurusan kes tersebut dan setiap langkah pastinya perlu mengambil kira kesan secara langsung ke atas proses pendakwaan yang sedang berjalan.

Menurutnya, proses memperoleh semula enjin berkenaan menunjukkan wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan walaupun berlaku kes sedemikian.

Beliau berkata kejayaan kes itu adalah kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesainya kes berkenaan.

Enjin tersebut dilaporkan hilang dari dua kemudahaan TUDM pada 20 Dis 2007 dan 1 Jan 2008.

Ahmad Zahid turut menafikan tohmahan dan fitnah yang mendakwa kedua-dua enjin tersebut bernilai RM100 juta sedangkan keseluruhan sebuah pesawat seumpama itu hanya bernilai RM2.45 juta.

Malaysiakini/-

2 ulasan:

anti united malay nut orgi berkata...

Kenyataan kartun dari manusia2 yg kartun.Banyak betul kes2 yg terjadi terlalu kartun.mereka cuba menkartunkan rakyat.tetapi mereka tidak sedar ramai rakyat negara ini tidak mampu di kartunkan.hanya segelintir manusia yg tidak sedar itu pun makcik joyah serta pak ngah busu di felda2 serta kg2 yg suka di kartunkan dgn menutup minda mereka menerima suatu yg benar.Sampai matilah kamu di perkartunkan.

Tanpa Nama berkata...

Ye ke? Yang masyarakat dunia tahu amerika yang telah mengesan dimana engin-enjin jet tu berada menggunakan satelit je. Mahkamah nak kata apa, sebab memang engin-engin tu TUDM yang punya. Yang patut malu kerajaan malaysia, habis satu dunia tahu malaysia ni gah je... hakikatnya habuk pun tarak. Itu sebab le MARUAH negara ni boleh dijual apalagi perundingan dengan singapura berakhir dengan terlepasnya woodland. Woodland adalah satu-satunya kedudukan yang bersifat strategik untuk malaysia.....