16 November 2010

Adun PR bidas kenyataan Exco Perak

09 Zulhijjah 1431H.
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim membidas kenyataan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman bahawa Pakatan Rakyat memulakan kekcohan setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Khalil berkata, Hamidah sepatutnya terlebih dahulu menegur Umno Barisan Nasional (BN) yang ternyata mengamalkan politik berpuak-puak sebelum mencampuri urusan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya anggap kenyataan Hamidah itu untuk menutup kelemahan dan tindakan rampasan kuasa di Perak.

"Jangan ingat rakyat Perak sudah lupa di Perak berlaku rampasan kuasa pada 6 Februari 2009, dan saya yakin ianya masih segar dalam ingatan rakyat yang cintakan demokrasi.

"Nasihat saya Hamidah jagalah parti Umno di Perak yang nampaknya jelas berpuak-puak dan saling menjatuhkan. Pandai-pandailah pimpinan PAS jaga parti kami," kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hamidah yang disiarkan sebuah akhbar hari ini bahawa kerajaan negeri memang berhasrat memanjangkan tempoh sidang DUN kali ini selama tiga atau empat hari.

Namun katanya ia bergantung kepada perjalanan sidang pada hari berkenaan sama ada berlangsung secara aman atau sebaliknya.

Beliau turut mendakwa Pakatan Rakyat memulakan kekecohan dalam dewan sehingga tempoh bersidang terpaksa disingkatkan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Khalil juga berkata, tindakan Umno BN tidak mahu memanjangkan sidang Dun sebelum ini bukan angkara Pakatan Rakyat namun mereka sebenarnya takut dengan Pakatan yang dilihat masih berpengaruh di negeri itu.

"Sebenarnya Umno dan BN takutkan Pakatan Rakyat yang masih dominan dan relevan untuk kembali berkuasa di Perak.

"Kalau tidak mahu serah kuasa kepada Pakatan, dan takut untuk membubarkan Dun, Hamidah janganlah tunjuk hebat nanti diketawakan orang," katanya.

Sidang Dun Perak akan berlangsung pada 30 November ini dan belum ditetapkan berapa hari tempoh persidangannya.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit, Kapten (B) Usaili Alias sebelum ini menggesa sidang Dun dipanjangkan tempohnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: