18 Disember 2010

Pakai baju berlogo parti ke Konvensyen Pakatan

12 Muharram 1432H.
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 17 Dis: Semua peserta termasuk kepimpinan parti yang menyertai Konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan Milenium, di sini pada 19 Disember ini dikehendaki memakai baju berlambangkan parti masing-masing.

Pengarah program, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, baju mesti kemas tidak kira ia bertulisan mahupun berlambang kerana yang penting ialah menggambarkan parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.

"Semua jentera parti dan kepimpinan dikehendaki pakai baju berlambangkan parti masing-masing sepanjang konvensyen berlangsung pada hari Ahad ini agar ia nampak seragam dam ketrampilan sebagai gabungan yang mantap," katanya.

Katanya, jika sesiapa yang mahu memakai kemeja 'T'berlambangkan parti pastikan yang berkolar dan jangan sekali-kali berselipar.

Peserta juga sambungnya, digalakkan datang awal sebelum pukul 8.00 pagi untuk mengelak daripada kesesakan di bahagian pendaftaran.

Peserta akan dibekalkan sebuah buku berwarna 'oren' di mana di dalamnya bercetak polisi dan dasar Pakatan.

"Semua peserta kena datang awal dan tuju terus ke bahagian pendaftaran di samping pastikan mendapat bekalan buku berwarna oren mengandungi dasar dan polisi Pakatan Rakyat," tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Selepas sahaja majlis bermula satu gimik perasmian akan diadakan namun beliau tidak memberitahu caranya kerana mahukan kelainan.

Harakhadaily/-

Tiada ulasan: