28 Disember 2010

Piala Suzuki - Gelora Bung Karno !


JAKARTA, 28 Dis — Perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia esok tetap berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di sini, selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberi ‘lampu hijau’ semalam.

Keputusan itu dinyatakan Naib Presiden AFF Rafi Khyk selepas melakukan pemeriksaan ke atas stadium tersebut yang mengalami kerosakan pada rumput dan kemudahan lain, angkara sekumpulan penyokong Indonesia yang merusuh petang semalam kerana tidak mendapat tiket ke perlawanan berkenaan.

“Padang ini layak digunakan untuk pertandingan 29 Disember (esok) nanti, tetapi dalam dua hari ini masih tidak boleh digunakan untuk latihan,” kata Khyk.

AFF juga memutuskan semua kemudahan termasuk pagar pemisah penonton dan ruang untuk warga media boleh digunakan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Nugraha Besoes berkata usaha pemulihan stadium tersebut akan terus dijalankan dalam masa dua hari, terutamanya pada rumput yang kini ditanam semula.

Berikutan kejadian rusuhan itu, AFF mengancam untuk memindahkan perlawanan tersebut ke tempat neutral jika keadaan stadium tidak lagi sesuai.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, Malaysia menewaskan Indonesia 3-0.

Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Bukit Jalil, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan berkeyakinan menghadapi perlawanan akhir kedua.

Berbekal dengan kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad “Harimau Malaya” itu K. Rajagobal berkata pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi skuad “Garuda”.

“Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

“Jadi kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten ketika ditanya pemberita sama ada beliau yakin pasukan akan muncul juara Piala AFF kali ini.

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

Terdahulu ketibaan skuad “Harimau Malaya” itu di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tengerang, Banten disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.

Pertandingan bola sepak Piala AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia setelah pasukan “Garuda” muncul unggul dalam perlawanan di peringkat penyisihan dan peringkat separuh akhir, kesemuanya di gelanggang sendiri.

Kekalahan Indonesia 0-3 ke atas Malaysia di Kuala Lumpur semalam mengecewakan para penyokong pasukan itu namun mereka tetap berharap, pasukan mereka pasti akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang mereka sendiri esok.

Indonesia sekurang-kurangnya harus menang dengan 4-0 pada perlawanan akhir kedua bagi memenangi pertandingan itu. — Bernama

Tiada ulasan: