28 Disember 2010

Disebalik pesanan Taqwa

Ahmad Baei Jaafar

“Bertaqwalah...” itu pesanan setiap minggu. Tetapi berapa orang yang mendengarnya dengan penuh perhatian? Yang saya pasti mereka berkata di dalam hati, “asyik-asyik taqwa, benda yang sama setiap minggu. Tidak perlu dengarlah, mari tidurlah.” Bayangkan kalau sudah tidur, apalagi yang kita nak kata, memang tidak fahamlah.

Khatib selalu berpesan, takutlah kamu kepada Allah dengan melaksanakan hukum Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Taqwa diterjemahkan sebagai takut, iaitu takut akan kehebatan Allah. Takut kepada Allah membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Kita rasa Allah hebat hingga segala perintahnya kita wajib ikut dan kita rasa kagum dengan kekuasan Allah lalu larangan-Nya kita sanggup tinggalkan.


Inilah taqwa yang seharuskan kita faham dan hayati. Bayangkan kalau semua jemaah sesuatu masjid itu faham mesej taqwa itu, masih ada lagikah umat Islam yang ponteng solat lima waktu, masih ada lagikah umat Islam yang cuai dengan perintah zakat? Masih ada lagikah umat Islam yang main judi, berzina, minum arak dan membuat fitnah dan sebagainya?

Realitinya, umat Islam masih ramai yang cuai dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Mengapa? Selain faktor di atas, taraf umat Islam pada masa kini masih rendah imannya. Hal ini kerana mereka tidak pernah didik bagaimana untuk memperkasakan iman mereka.

Sebenarnya perintah supaya bertaqwa ini merujuk kepada orang yang beriman. Maknanya taqwa banyak bergantung kepada tahap iman seseorang. Jika tahap imannya rendah maka rendahlah taqwanya dan jika imannya tinggi, tinggilah pula taqwanya. Jadi, orang yang beriman sahaja yang mampu memikul watak taqwa.

Tiada ulasan: