19 Februari 2011

Media sosial tunggu waktu untuk meletup ... A

16 Rabiulawal 1432H [MOD]-
Ketika negara-negara lain, khususnya di dunia ketiga, terutama di Timur Tengah sekarang, berada dalam landasan yang betul bagi proses pendemokrasian, Malaysia mengambil langkah mundur ke belakang. Semasa indeks kebebasan akhbar kita -- seperti hasil kaji selidik Reporters without Borders dan Freedom House -- masih berada pada tahap yang memalukan dan mencatatkan kemerosotan dari tahun ke tahun, komitmen kerajaan terhadap autonomi ruang siber yang ditawarkan semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1997 mula diceroboh.

Dalam suasana pengamal media tradisional terikat kuat dengan kekangan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, di samping menyedari beberapa laman web dan blog sudahpun menghadapi pelbagai bentuk tindakan intimidasi pemerintah, namun dunia internet kita masih boleh disifatkan bebas. Suara kritikan dan bangkangan, yang mula dicetuskan secara lantang semasa gerakan reformasi 1998, masih dapat digemakan dengan berkesan sekali melalui media baru ini.

Informasi yang dikawal ketat regim pemerintah pada akhir 1990-an itu telah bocor dan terdedah melalui kreativiti dan kesungguhan anak-anak muda yang begitu cepat menguasai teknologi maklumat terkini, terutama tentang program komputer yang kompleks. Kebanyakan penggeraknya melakukan penyamaran identiti sebenar, dengan persediaan menghadapi risiko tinggi, selain terpaksa menampung kos dari segi kewangan dan masa. Mereka yang tidak dikenali ini merupakan wira-wira baru yang secara tidak sedar sedang membentuk lanskap politik Malaysia yang berbeda sama sekali daripada era sebelumnya.

Secara tiba-tiba seorang individu "tidak ternama" boleh memegang kuasa mutlak di alam siber tanpa perlu melalui proses pemilihan yang lazim dipakai dalam struktur organisasi dan lapis-lapis masyarakat. Pandangan dan sikap politik seorang insan kerdil mampu membentuk opini awam jika ia mempunyai hujahan yang mantap dan bernas, serta diolah dengan pendekatan menarik. Seolah-olah kongkongan yang mencengkam dunia sebenar dapat dipecahkan dengan jayanya.

Sememangnya gelombang reformasi ketika itu telah merangsang penggunaan internet dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, termasuk di kalangan orang awam, apatah lagi penggerak masyarakat sivil dan komuniti politik. Kadar pertumbuhannya melonjak pada tahun 1998, 1999 dan 2000, dengan masing-masing mencatatkan peratusan 97.6%, 64.9% dan 148.4%. Kini pengguna internet di Malaysia melewati 19 juta jauh lebih banyak daripada jumlah pengundi berdaftar.

Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad 1998-99 menghadapi tekanan yang cukup dahsyat dan teriakan "reformasi" Anwar Ibrahim yang diaibkan telah mendapat reaksi luar biasa. Biarpun internet hanya dihubungkan melalui dial-up dan belum menyeluruh penggunaannya, namun sambutan terhadap laman-laman web reformasi begitu memberangsangkan. Bahan-bahan (kebanyakannya sensasi dan terkini) internet dimuat-turun dengan penuh rasa ingin tahu bagi tujuan penyebaran segera secara manual untuk kelompok lebih luas. Lebih menakjubkan, keterangan di dalamnya mudah diterima tanpa saringan, meskipun fakta dan khayalan bercampur-baur.

Jelas sekali, internet cukup menyerlah sebagai alat mobilisasi bagi menggerakkan kesedaran rakyat, sekali gus meranapkan monopoli eksklusif media tradisi. Rakyat mudah mendapat maklumat terutama mengenai perhimpunan-perhimpunan awam proreformasi di sekitar Kuala Lumpur dan kisah sebenar yang cuba disembunyikan elit penguasa, seperti cerita mata lebam Anwar. Tiba-tiba saja Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, khususnya pada petang hujung minggu, menjadi meriah dengan aksi protes dan anak-anak muda tidak gerun lagi berdepan tembakan gas pemedih mata dan meriam air. Mereka mula mengenali belantan, cota, gari, brutaliti pihak polis dan manipulasi jahat media talibarut pemerintah.

Suasana baru itu menyemarakkan minat anak-anak muda untuk berpartisipasi -- menurut cara mereka -- dengan dunia politik yang selama ini tidak begitu dihiraukan. Selain memenuhi lapangan tunjuk perasaan, mengikuti ceramah dan mengedarkan risalah, berpusu-pusu mereka mendaftarkan diri sebagai pengundi, mungkin didorong niat "untuk mengajar BN dan Dr Mahathir" dalam pilihan raya umum terdekat. Malangnya, disebabkan proses pendaftaran terpaksa melalui prosedur yang lama-lembab, lebih 650,000 pengundi baru tidak dapat menunaikan hak mereka pada November 1999.

Kita tentu dapat membayangkan bagaimana resahnya Mahathir berdepan dengan kehebatan pengaruh internet dan dunia siber yang sebenarnya dirintis oleh beliau sendiri. Zaman rakyat menelan segala muntahan pemerintah sudah berakhir. Kematangan berpolitik mulai terserlah secara menyeluruh terutama di kalangan orang Melayu. Mereka sudah berani mempersoalkan daleh pemerintah yang sejak sekian lama memperbodohkan logika.

Melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) pelbagai sekatan dan hambatan dikenakan (beberapa penerbitan berbahasa Melayu seperti Detik, Wasilah dan Eksklusif diharamkan, manakala Harakah dikurangkan kekerapannya) tetapi kebebasan internet masih terpelihara. Mahathir belum bersedia untuk meracuni bibit-bibit yang disemainya sendiri atau beliau sedar kerumitan dunia maya masih boleh ditanganinya. Jika internet disekat, pelbagai risiko buruk, khususnya dari segi pelaburan asing, terpaksa ditanggungnya.

Rupanya pilihan raya umum 1999 tidak mencukupi untuk merealisasikan tuntutan reformasi seutuhnya. BN masih berkuasa dan memegang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pembentukan Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, DAP, KeADILan dan PRM) hanya mampu meriuhkan sidang Dewan Rakyat (itu pun tanpa kelibat Lim Kit Siang dan Karpal Singh) selain PAS menguasai Terengganu. Pengundi bukan Melayu seperti tidak tersentuh langsung dengan perubahan lanskap politik yang mula terbentuk itu.

Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Mahathir pada penghujung 2003, beberapa bulan sebelum PRU11, berjaya memukau rakyat dengan retorik politik yang mempesonakan. Jaminan pembaharuan yang dipakej dengan baik sebagai propaganda politik Abdullah telah "menjinakkan" suara protes. Internet semakin meluas penggunaannya, laman-laman baru muncul tetapi dilihat tidak lagi memainkan peranan yang besar bagi menarik sokongan rakyat kepada pembangkang.

Dalam masa sama, laman web yang begitu popular semasa Anwar dipenjarakan seperti kehilangan bisanya. Proses kemaskini bahan terabai, dan semakin berkurangan isu-isu penting, sensitif dan sensasi yang ditawarkan laman-laman berkenaan. Kerjasama dalam BA makin longgar. DAP kemudiannya meninggalkan BA. Tiada lagi "barisan alternatif" ataupun bayangan "kerajaan menanti". Ramai mempersoalkan, apakah elemen "politik baru" yang muncul bersama PRU10 pada 1998-99 begitu mudah menghilang, dan "politik lama" kembali bertakhta?

Dalam "kesedihan" (tetapi langsung tidak terkejut, malah sudah menduganya) menatap keputusan PRU11, saya tetap optimis tentang masa depan demokrasi di negara kita. Politik Malaysia, yang kian dipengaruhi faktor dinamika ruang siber, tidak mudah berpatah balik lagi. Realiti 2004 yang menyaksikan penguasaan kerusi BN di Parlimen melebih 90 peratus -- dan ini satu rekod -- sebenarnya bukan jaminan suara oposisi tidak mampu bangun lagi. Era politik Malaysia sudah berubah.

Suasana tertekan di zaman Dr Mahathir (1981-2003) menyebabkan rakyat mahu memberi peluang regim baru melakukan pembaharuan. Sekiranya amanah dan harapan besar rakyat itu "dikhianati", seperti ditunjukkan sepanjang 2004-2008, mereka mungkin bersedia untuk memutuskan "hukuman lebih tegas" buat elit pemerintah. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga agen risikannya, gagal mengesan "riak yang timbul di permukaan".

Apabila rakyat mudah akses dengan bahan berita, dan pihak pembekal maklumat (tidak lagi terhad kepada organisasi media, tetapi boleh dilakukan sesiapa saja melalui laman web, blog, dan media sosial) sentiasa mengemaskinikannya, manakala kewibawaan jurnalisme portal berita seperti Malaysiakini dan Harakahdaily terus meningkat, maka siapa pun yang memerintah, segalanya tidak mudah lagi. Aspek-aspek ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban akan sentiasa diperhatikan. Benar kata-kata Najib, zaman kerajaan mengetahui semuanya sudah berlalu.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mungkin di "waktu aman", riak dan kocakannya tidak ketara. Namun apabila pemerintah mulai menyeleweng, lupa diri, amalan rasuah dan pilih kasih berleluasa, khazanah negara dirampok secara terang-terangan, hak rakyat dinafikan, daya intelektualisme diperbodohkan, skandal kewangan merebak, jurang pendapatan kaya-miskin semakin dalam, anak muda sukar mendapat pekerjaaan walaupun berpendapatan tinggi, harga barangan keperluan harian memuncak, maka tunggulah kebangkitan yang menggerunkan!

Mungkin hari ini kandungan media sosial seperti Facebook dan blog anak-anak muda kita dipenuhi cerita-cerita remeh, personal serta tidak menyentuh "wilayah larangan" tetapi ia tetap berpotensi untuk menyalur dan mengembangkan keresahan, kebingungan, kegelisahan, kemarahan dan segala amukan perasaan sekiranya persekitaran mereka sudah berubah ataupun kesedaran politik semakin meningkat. Ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi idea dan mehamai rasa bagai tiada batasan.

Harus diingat, kita tidak perlu menunggu fenomena kelaparan, kebuluran atau tahap pengangguran yang tinggi untuk melihat dunia siber kita bergolak dan merakamkan kegelisahan-kebejatan sosial itu. Rakyat yang tangkas dan cerdas minda politiknya berupaya diyakinkan untuk melakukan perubahan bagi menikmati pembaharuan yang membawa manfaat bersama melalui peti undi. Dan inilah yang dibimbangi kerajaan.

Rakyat Malaysia di negara yang begitu makmur dan kaya ini (khazanah negara melimpah tetapi dipunggah rakus kroni suku-sakat) sepatutnya tidak menanggung bebanan hidup berganda jika pemerintahannya dibersihkan daripada segala perasuah yang tamak dan penzalim yang angkuh-bongkak. Angka-angka penyelewengan yang terbongkar tidak mudah ditutup lagi. Malah, melalui teknologi maklumat yang mampu menyembunyikan "tukang tiup wisel", orang dalam sendiri lebih terdorong membocorkannya. Dan segalanya sukar disembunyikan.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengulas sanggahan pemimpin kerajaan bahawa negara kita sama sekali berbeda dengan suasana di Timur Tengah, menegaskan, walaupun Malaysia jauh lebih makmur berbanding Mesir, namun rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis. "Tidak puas hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya

Di permukaan nampak diam, tetapi jalinan mesej bertali arus di dunia internet mampu mengheret pemerintah korup ke alam kubur. Justeru, usah berdiam diri melihat gerak terancang penguasa bagi maksud mengawal kandungan ruang siber kita ... Menarik sekali ulasan sebuah harian terkemuka di Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak tersungkur: "Revolusi Facebook berjaya menumbangkan Mubarak dan simbol rejim pemerintahannya," lapor Al-Ahram, sambil menyifatkan laman sembang sosial itu sebagai "ibu pejabat majlis pemerintah revolusi." (HDaily)

1 ulasan:

Berpikir Positif berkata...

The protest are spread now begin in the middle eat the question is when in Asean