18 Mac 2011

112 peninju bakal berentap

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seramai 112 peninju amatur daripada tiga negeri Pantai Timur akan berentap dalam Kejohanan MuayThai Fit Warriors Zon Timur 2011 yang akan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji pada Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu, dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Muaythai Malaysia dan Persatuan Sukan Seni Tomoi Kelantan.

Pegawai Kecergasan Nasional, JBS negeri, Mazlan Mohd Ariffin berkata, seramai 28 peninju masing-masing dari negeri Terengganu dan Pahang, manakala selebihnya peninju dari negeri ini akan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam tujuh kategori yang akan dipertandingkan.

“Objektif utama kejohanan ini diadakan, ialah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat tempatan melibatkan diri di dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat daripada aspek kesihatan dan perpaduan.

“Kesemua peserta yang bertanding merupakan peninju amatur dan hasil daripada kejohanan ini, mereka akan dipilih untuk bertanding pada Kejohanan Muaythai Fit Warrior peringkat kebangsaan pada tahun ini.

“Sedikit kelainan mengenai kejohanan ini, apabila kesemua peninju yang mengambil bahagian perlu memakai peralatan perlindungan seperti Body Protector, Head Guard, Shin Pad, Groin Guard dan Glove sebagai salah satu syarat pertandingan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mazlan berkata, negeri Kelantan dianggap cukup bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah dalam peringkat zon ini, dan beliau berharap penggiat sukan seni di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan ini

“Peminat sukan seni MuayThai di negeri ini, harus mengambil peluang dengan lebih dekat untuk melihat jaguh dalam bertanding dalam kejohanan ini. Saya percaya, masyarakat di negeri ini begitu meminati sukan ini berdasarkan sambutan kepada kejohanan di peringkat daerah sebelum ini.

“Kita mengharapkan sokongan orang ramai dapat hadir dan sebab itu, kita tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi membolehkan mereka datang menyaksikan kejohanan ini secara percuma,” katanya.

Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu kategori 48kg hingga 51kg, 51kg hingga 54, 57kg hingga 60kg, 60kg hingga 63.5kg, 63.5kg hingga 67kg dan 67kg hingga 71kg yang merangkumi sebanyak 105 perlawanan diadakan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: