10 Mac 2011

M Faqih: Kejayaan program al-It'aam di Kelantan

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BUKAN mahu angkat bangkul sendiri apabila banyak pihak memuji langkah kerajaan Kelantan melaksana skim al-It’aam. Malah ramai masih kekok untuk menyebutnya.

Diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud makanan ruji (asas). Biar pun pelaksanaannya sudah lama di negara-negara maju, namun di tempat kita masih lagi baru.

Kerajaan pusat pernah menguar-uarkan program Subsidi Beras Untuk Rakyat Miskin (Subur) pada akhir 2009. Ketika itu kerajaan bercadang mengagih 6,000 metrik tan beras sebulan kepada penduduk berpendapatan kurang RM1,740.

Ada menteri memberi komitmen pembahagian beras super special tempatan akan dilaksanakan melalui pembahagian kupon bermula 1 Disember 2009.

Namun pertelingkahan dikatakan berlaku di kalangan pemimpin di pusat mengenai senarai penduduk yang layak mendapat bantuan tersebut.

Ada yang berhujah senarai E-Kasih tidak telus dan kurang lengkap. Namun, malangnya program Subur tidak lagi kedengaran sekarang. Entah hidup atau berkubur begitu sahaja.

Sebaliknya lain pula di Kelantan, biar pun Subur tidak menjadi, namun program serupa dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu pada pertengahan tahun lalu.

Ia dikendalikan Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat Dun Wakaf Bharu (Taksir).

Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu mendapat sebanyak 10 kg beras percuma setiap seorang pada tiap-tiap bulan.

Maka mengambil kira kejayaan tersebut kerajaan negeri pada persidangan belanjawan tahun lepas meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi mengendali skim bantuan beras percuma.

Ketika ucapan Belanjawan 2011 pada 2 November 2010, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut makanan adalah keperluan asasi manusia.

”Bagi keluarga miskin dan fakir dengan bilangan anggota keluarga yang besar, memenuhi keperluan pemakanan menjadi satu beban dan masalah bagi mereka.

”Islam menetapkan keperluan manusia yang paling asasi wajib dipandang berat oleh semua pihak, bermula dari anggota keluarga terdekat dan jiran tetangga.

”Nabi Muhammad saw bersabda, bahawa tidak dianggap beriman seseorang yang tidur malam sedangkan jiran mereka yang miskin berada dalam kelaparan.

”Bagi memenuhi kewajiban asasi ini kerajaan negeri memulakan contoh baik yang diharap dapat dikongsi bersama anggota masyarakat,” katanya.

Sebanyak RM1.5 juta diluluskan bagi melaksanakan program berkenaan.

Pada 6 Febuari lalu program al-It’aam dilancar Menteri Besar bertempat di Dataran Pasir Pekan, Tumpat.

Pada majlis itu penduduk miskin tanpa mengira keturunan dan agama serta ideologi politik menerima beras disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ada penduduk keturunan Cina, Siam, India dan Melayu menerima bantuan beras tersebut sebanyak 10 kg bagi setiap keluarga.

Dan selepas pelancaran terbabit, majlis penyampaian bantuan beras kemudiannya diadakan di seluruh Kelantan.

Biar pun sekampit beras seberat 10kg tidak dapat menampung bilangan anggota keluarga ramai, namun sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kewangan mereka.

Hari ini seramai 4,500 penduduk miskin mampu menarik nafas lega. Bebanan mereka sebelum ini sedikit sebanyak sudah terurai.

Seorang penduduk dari Kampung Simpangan, Tumpat sebelum ini memberitahu beliau tanpa rasa segan datang ke rumah wakil rakyat bagi meminta ihsan sekampit beras.

”Saya terpaksa ketepi rasa malu dan segan, kalau tidak anak-anak di rumah tidak dapat mengisi perut,” katanya.

Setelah sebulan berlalu, program al-It’aam tersebar ke seluruh Kelantan. Ramai mengalu-alukan program berkenaan kerana memberi manfaat kepada rakyat miskin.

Malah pada persidangan Dewan Undangan Negeri 2 Mac lalu, wakil pembangkang dari Galas, Abdul Aziz Yusof turut memuji langkah dibuat kerajaan negeri.

”Syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melaksanakan program berkenaan,” katanya ketika berucap menyokong ucapan menjunjung kasih.

Biar pun program itu baru diperkenalkan, Adun Kadok Azami Mohd Nor mencadangkan kuantiti beras yang diberi ditambah kepada dua kampit.

Kata beliau bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai, sekampit hanya mampu bertahan dua minggu sahaja. Ujar beliau untuk dua minggu lagi keluarga berkenaan terpaksa membeli sekampit lagi.

”Apa salahnya kalau kerajaan negeri menambahkan bantuan kepada dua kampit pada masa akan datang. Tambahlah peruntukan kepada RM3 juta,” ujarnya pada persidangan Dun.

Merungkai persoalan itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Asas Tani, Che Abdullah Mat Nawi menjelaskan kerajaan negeri menerima baik segala cadangan dibuat bagi memperkasakan lagi program berkenaan.

Persidangan Dewan juga turut menyentuh isu tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan rakyat Kelantan.

Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sekiranya Kelantan mendapat royalti tersebut, pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.

”Kelantan boleh buat sendiri pembangunan di negeri ini, namun malangnya ada pihak yang melanggar perjanjian dibuat pada 1975,” katanya.

Malah pada persidangan Dun pada Mac tahun lepas Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad turut menyokong usul membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Pada akhir Ogos 2010 kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas di atas dakwaan tidak membuat pembayaran tunai terhadap hasil minyak diperolehi di luar pesisir pantai Kelantan.

Tindakan Petronas itu dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kes terbabit difailkan di Bahagian Pendaftaran Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. Ia dilakukan sendiri Menteri Besar.

Malah bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mahu kerajaan pusat menghormati hak Kelantan ke atas 5 peratus royalti minyak.

”Wang ihsan tiada dalam perjanjian yang saya buat dahulu, saya yang buat Akta Petroleum Negara 1974, tidak terlintas langsung hendak sebut wang ihsan,” katanya seperti dilapor sebuah akhbar pada 1 Disember 2009.

Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyebut pembayaran tunai perlu dibuat oleh Petronas bagi hasil yang diperolehi kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Dan pada perjanjian yang ditandatangani pada 1975 di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Petronas menyebut perkataan off-shore (persisiran pantai) dan on-shore (daratan).

Merujuk afidavit Tun Abdul Rahman Yakub dalam kes kerajaan Terengganu melawan Petronas dan kerajaan Malaysia pada 2001 beliau menyebut, ”Sepanjang perundingan saya dengan Tun Abdul Razak tidak pernah timbul soal kefahaman bahawa sekiranya minyak yang ditemui terletak lebih daripada 100 batu, ia bukan milik Sarawak. Yang pasti minyak yang ditemui di luar persisiran Sarawak adalah hak Sarawak. Tun Abdul Razak tidak pernah mempertikai sama sekali.”

Kata bekas ketua menteri Sarawak itu lagi, wang ihsan adalah rekaan baharu.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Kasturi berkata...

Program yang bagus, ada asas dalam islam, minta dikaji bagaimana negara seperti korea selatan boleh maju begitu sekali.