30 Mac 2011

Tripoli Terus Dibedil

25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 30 MAC : Letupan kuat kedengaran di ibu negara Libya, Tripoli untuk malam ke-11 berturut-turut ketika kuasa dunia mula berdebat sama ada menyalurkan senjata api kepada kumpulan pemberontak bagi menjatuhkan Presiden Muammar Gaddafi.

Ketika Perancis bersiap untuk mengadakan rundingan bagi menyalurkan bantuan ketenteraan kepada pejuang pemberontak Libya, Menteri Luar, Alain Juppe berkata beliau kini berada di satu persidangan di London bagi menyiapkan pelan masa depan bagi Gaddafi di negara rantau Afrika Utara itu.

Tentera pemberontak yang kini menguasai timur Benghazi, kawasan pertama berjaya ditawan mereka sejak enam minggu lalu berkata, wakil diplomat Perancis dan Amerika Syarikat (AS) kini dalam perjalanan untuk menemui mereka di bandar raya itu.

Lewat malam semalam, dua letupan kuat menggegarkan Tripoli dan kawasan itu terletak berhampiran kediaman Gaddafi, berek pengawal dan markas tentera manakala kawasan pinggir bandar Tajura juga diserang, lapor koresponden AFP.

Letupan pertama berlaku kira-kira jam 1630 GMT, diikuti letupan kedua tiga minit kemudian di Daerah Bab Al-Azizya.

Tujuh letupan juga dilaporkan berlaku di Tajura, kawasan yang menempatkan kem tentera dan serangan sepanjang malam itu mensasarkan kawasan tentera udara itu.

Sementara itu, Reuters melaporkan pasukan pemberontak yang berada di bandar Misrata mendakwa mereka telah diserang dengan kuat oleh pasukan tentera Gaddafi semalam.

Mereka merayu kepada mesyuarat kerajaan di London bagi membantu mereka.

“Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan yang dahsyat terhadap kami di Misrata.

“Mereka tekad mahu merampas balik bandar ini, ini adalah hari yang sukar bagi kami,”kata seorang jurucakap pasukan pemberontak, Mohamed melalui perbualan dari telefon satelit.

- Agensi

Tiada ulasan: