25 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
ALOR SETAR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dengan menghentak kepala mangsa menggunakan seterika serta menikam dada dan leher mangsa bertubi-tubi menggunakan gunting, dua tahun lalu.
Pesurujaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Adnan Abdul Rahim, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Zaki berkata, selepas meneliti penghujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwa mempunyai bukti kuat untuk mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh.
“Ketika membela diri, tertuduh tidak menafikan melakukan kecederaan kepada si mati tetapi mendakwa tiada niat untuk membunuh si mati. Saya tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman mati,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman itu.
Mengikut fakta kes, Mohamad Adnan dituduh membunuh Nur Bahirah Ishak, 22, di sebuah rumah bernombor 157, Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim, antara jam 10.30 hingga 10.45 pagi pada 17 Mei 2009.
Tertuduh berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh mangsa dengan menghentak kepalanya menggunakan seterika serta menikam bertubi-tubi dengan gunting termasuk di bahagian dada sebelah kiri dan leher akibat perselisihan faham.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam, K Padmanathan.
Mohamad Adnan yang memakai kemeja-T kelihatan tenang dan hanya menundukkan kepala selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu.
Pada 18 Mei 2009, akhbar ini melaporkan seorang gadis menemui ajal akibat ditikam bertubi-tubi sejurus mengungkapkan hasrat ingin memutuskan hubungan cinta dengan seorang duda yang dikenali sejak kecil kerana mahu bertunang dengan lelaki pilihan hatinya.
Mangsa, Nurbahirah Ishak, 22, bekas pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik di rumahnya di Taman Perak, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan