29 April 2011

Misteri kehilangan terjawab

25 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

IPOH – Belum pun sampai empat jam mengadakan sidang media mengenai kehilangan anaknya, seorang ibu, M Kavitha, 36, terpaksa meratapi kematian anaknya itu yang dipercayai dibunuh.

V Seshagary berusia sembilan bulan yang ditemui mati di dalam beg pada Sabtu lalu rupa-rupanya anaknya yang hilang sejak 22 April lalu.

Misteri kehilangan itu terjawab selepas pengecaman gambar dibuat di Balai Polis Simpang, Taiping dan mengesahkan bayi itu adalah anaknya.

Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat India Negeri, Iruehiyam Sebastiar yang menemani Kavitha untuk pengecaman itu memberitahu, mayat bayi lelaki itu adalah Seshagary.

“Kita serah segalanya kepada pihak polis untuk jalankan siasatan kerana kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Saya pun telah dimaklumkan pihak polis bahawa seorang wanita iaitu rakan Kavitha telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, mayat bayi itu berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, bagaimanapun ia belum boleh dituntut kerana melibatkan kes polis.

Terdahulu pada sidang medianya, Kavitha memberitahu kehilangan anaknya itu mula disedari selepas kawan baiknya mengambil bayi itu dengan alasan untuk bermain pada 22 April kira-kira jam 12.30 tengah hari di rumah pengasuh.

Beliau yang tinggal di Taman Indah Sakti mengenali rakannya itu sejak setahun lalu berkata, anaknya itu tinggal beberapa hari di rumah rakan itu di Taiping sehingga 24 April.

Rakannya yang mula dipercayai itu kemudiannya memaklumkan akan menghantar anaknya itu tetapi sehingga semalam masih belum tiba seperti yang dijanjikan.

“Dia beritahu abangnya akan hantar anak saya balik ke rumah kerana dia akan ke Kuala Lumpur tetapi sampai sekarang tidak sampai-sampai.

“Itulah yang saya risaukan. Bila saya telefon, abang dia tak angkat tetapi ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) suruh saya ambil anak di beberapa tempat,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat, Bangunan Perak Daruk Ridzuan, di sini, semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu, Penasihat Menteri Besar, Datuk S Veerasingam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN ), Datuk R Ganesan dan Penasihat Undang-undang MIC, S Thangeswary.


Terima SMS minta ambil anak



Kepada media Kavitha memberitahu ada menerima SMS pertama daripada lelaki itu meminta beliau mengambil anaknya itu di Seri Iskandar.

Katanya, setelah sampai ke tempat yang dimaksudkan, tidak ada sebarang kelibat anak dan lelaki itu sebaliknya satu lagi SMS diterima meminta beliau ke Air Tawar.

“Setelah saya tiba di Air Tawar, keadaan sama seperti di Seri Iskandar. Tiada apa yang saya jumpa dan lelaki itu menghantar SMS terakhir meminta saya ke Balai Polis Sitiawan.

“Bila sampai di Balai Polis Sitiawan, memang saya hampa dan sedih sebab anak saya masih tidak dijumpai,” katanya yang mempunyai lima orang anak.

Menurut Kavitha, satu laporan polis dibuat kelmarin berkaitan kehilangan anak bongsunya itu dan beliau merasakan anaknya itu telah diculik.

“Saya mahu kawan saya ini bertanggungjawab ke atas kehilangan anak kesayangan saya. Saya juga berharap pihak polis mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat,” katanya.

Pada 23 April lalu, mayat kanak-kanak lelaki berusia setahun lebih berpakaian lengkap ditemui dalam beg pakaian berhampiran jalan susur masuk ke hentian tol Bandar Baharu di Kilometer 175 dari arah Utara, pada jam 5.45 petang.

Berdasarkan pemeriksaan awal, polis menemui kesan lebam di kepala mangsa, manakala hidungnya berair.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: