24 April 2011

Pas Perlu Turunkan BN, Bukan Hadi

20 Jamadilawal 1432H. [MOD] -




KUALA LUMPUR – “Pas perlu “disegarkan” dengan membawa elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti, bukannya menukarkan kepimpinan yang ada hari ini,” demikian tegas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Husam Musa.

Sambil mempertahankan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Husam berkata, Pas perlu berusaha memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 kerana ia lebih penting.

“Kepimpinan Hadi selaku presiden parti masih diperlukan, cuma perlu mengambil tindakan memperkasakan kedudukannya.

“Usaha yang perlu diberi perhatian adalah menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Hadi selaku yang juga merupakan seorang pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pas kawasan Batu, semalam.

Menurutnya, isu presiden dicabar atau tidak, Pas tidak perlu memberi respons secara berlebihan.

“Nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah BN bukan Pas.

“Kawasan saya (Kubang Kerian) juga mencalonkan Hadi sebagai presiden kerana beliau adalah orang yang paling layak untuk menerajui Pas. Ini sudah terbukti, malah beliau juga sudah menghadapi banyak cabaran (sebelum menjadi presiden),” katanya.

Pertikaian pemilihan jawatan tertinggi Pas bermula selepas beberapa kawasan mula mengadakan mesyuarat kawasan dan Pas Bukit Bintang mencalonkan Husam sebagai presiden.

Husam berkata, Pas harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti.

Ditanya mengenai dakwaan penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Abdul Aziz Bari bahawa Hadi liabiliti kepada Pas, Husam menegaskan pemimpin veteren itu bukan seperti yang didakwa.

“Itu pendapat beliau (Aziz), akaun beliau dengan akaun saya lain, tidak sama. Bagi saya, Hadi bukan liabiliti kepada Pas, kepimpinannya masih diperlukan, cuma Pas perlu disegarkan semula,” katanya. 

S/H

Tiada ulasan: