29 Syaaban 1432H. [MOD] -
Ustaz Baei Jaafar
Barangsiapa yang membatalkan puasa Ramadan dengan bersetubuh sama ada dengan memasukkan kesemua zakar ke dalam lubang sama ada faraj wanita atau dubur lelaki, atau hanya sekadar kepala hasyafah, wajib mengqada puasanya dan membayar denda yang dinamakan kifarat.
Sebenarnya, lelaki atau suami yang melakukan persetubuhan di siang hari sama ada dengan rela isteri atau tidak, wajib membayar denda dengan memerdekakan hamba mukmin yang sejahtera (tidak cacat) sama ada lelaki atau perempuan. Jika tidak mampu kerana sudah tidak ada hamba pada hari ini maka bolehlah dia melakukan puasa dua bulan berturut-turut.
Dalam hal ini jika puasanya rosak atau terbatal satu hari kerana sakit atau musafir maka wajib diulang semula dari awal. Tetapi kalau tidak mampu berpuasa kerana keuzuran yang boleh membawa kepada mati jika terus berpuasa, wajiblah baginya memberi makanan seperti beras sebanyak 60 cupak beras kepada 60 fakir atau miskin. Ini bermakna setiap seorang mendapat satu cupak.
Tetapi kalau denda ini juga tidak mampu dilakukan olehnya kerana kemiskinan dan sebagainya, maka kewajipan itu dianggap masih tertangguh dan wajib melaksanakannya apabila dia sudah ada kemampuan.
Melihat kepada beratnya hukum dan denda ini, tentu tidak wajar seseorang lelaki atau suami melakukan persetubuhan pada waktu orang lain semuanya berpuasa.
Hukuman ini hanya terpakai kepada lelaki, tidak kepada pihak yang kena setubuhi. Perlu dijelaskan pihak yang kena setubuh ini termasuk haiwan.
Maknanya kalau lelaki setubuhi kambing, maka lelaki itu tetap kena kifarat. Walau bagaimanapun lelaki seumpama ini boleh selamat daripada denda tersebut kalau sekiranya dia gila atau mati pada hari persetubuhan itu. Juga tidak dikenakan kifarat kalau dia lupa yang dia berpuasa, atau jahil tentang hukum larangan bersetubuh, atau dipaksa bersetubuh.
Bersetubuh tidak kena kifarat
Orang yang tidak berniat puasa pada malamnya
Orang yang musafir
Orang yang sakit
Dia menyangka masih malam (belum masuk wuktu imsak) atau syak waktu berbuka sudah masuk
Orang yang membatalkan puasa selain daripada bersetubuh seperti makan dan minum
Golongan pertama hingga ke empat boleh tidak berpuasa. Jika mereka bersetubuh pada siangnya tidaklah menyebabkan mereka dikenakan kifarat. Tetapi kedudukan berbeza dengan golongan kelima, membatalkan puasa setelah berniat adalah berdosa. Dia wajib ganti selepas Ramadan. Namun kalau mereka bersetubuh tidak dikenakan kifarat. Jadi, jangan buat begitu kerana perbuatan itu termasuk dalam dosa.
Semoga kita dapat menjaga hukum Allah dengan baik.
1 ulasan:
salam.......susah kalau baru je kawin.........
Catat Ulasan