04 Ogos 2011

Adun Bebas bakal calon BN Perak?

4 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat beberapa kenyataan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung calon-calon Barisan Nasional (BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti menjanjikan yang terbaik dengan menggunakan istilah Presiden Umno,

Datuk Seri Najib Tun Razak yakni winnable dan likeable candidate sebagai asas memilih calon BN.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata, walaupun menyedari hakikatnya ia hanya bersifatkan teori semata-mata kerana banyak pihak tidak berpuas hati terhadap kenyataan tersebut.

Ini kerana, katanya bagaimana kedudukan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang menyokong BN.

“Adakah Adun Kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh yang keluar DAP dan kini telah menyertai PPP terselamat untuk kembali bertanding pada PRU 13 nanti kerana sudah menyertai Komponen BN?

“Apakah kedudukan tiga orang lagi ADUN yang masih berstatus Bebas?

“Adakah mereka akan bertanding dalam PRU 13 nanti?

“Adakah BN akan menawarkan mereka bertanding atas tiket BN?” soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya, jika semua kenyataan Zambry tersebut diambil kira, keempat-empat Adun Bebas tersebut telah berjaya menang pada PRU 12 tahun 2008 yang lalu dan sedang memberikan perkhidmatan atas nama BN.

Melalui maklumat yang diterima, ujarnya kesemua mereka memang berhasrat untuk kekal bertanding dan menjadi calon BN pada pilihan raya kali ini.

Baginya, banyak persoalan yang sedang bermain di fikiran Zambry di dalam menentukan calon BN kali ini.

Ketika ini, ujarnya MCA sudah mengarahkan semua MCA bahagian menyerahkan senarai calon-calon yang mewakili mereka.

MIC pula, tambahnya telah memberikan kata dua untuk mengekalkan kerusi yang ditandingi mereka pada PRU 12 yang lalu walaupun kesemua calonnya kalah.

Katanya lagi, PPP juga sedang memastikan agar Keshvinder akan kekal menjadi calon bagi mewakili BN di Dun Malim Nawar sekali lagi.

“Adakah Datuk Tan Lian Hoe wakil tunggal Gerakan akan kekal di Parlimen Kawasan Gerik?” soalnya.

Menurutnya, ini bermakna rakan Komponen Umno dalam BN Perak mahu mereka diberikan kerusi dengan calon mereka sendiri walaupun mungkin tidak memenuhi key performance indicator (KPI) Zambry sebagai Pengerusi BN Perak.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: