29 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Hamizul Abdul Hamid
Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (an-Nahl: 43)
Mutakhir ini, rata-rata amil yang berkerja di institusi zakat tidak nyaman tidur dan lenanya. Masakan tidak, lantaran isu-isu berkaitan agihan zakat boleh dikatakan menjadi bualan orang di mana-mana. Bahkan, ia dicetuskan secara leluasa di media massa. Biasalah, isu yang ‘panas’ dan bersifat ‘menyalahkan’ sesuatu pihak, memang mudah mendapat tempat di hati pembaca.
Secara sinikal, institusi zakat dipersalahkan dalam pelbagai hal. Kononnya, ada pemohon yang diherdik, dinafikan haknya, diarahkan pulang begitu sahaja dan tidak diberi peluang menerima bantuan zakat. Saya percaya, kes-kes di atas mungkin pernah berlaku, namun ia adalah kes-kes terpencil.
Bahkan saya yakin, institusi zakat yang berkaitan juga sudah mengambil inisiatif tertentu bagi mengatasinya. Misalnya, pegawai yang bersalah sudah dikenakan tindakan tata tertib. Namun, adilkah jika hanya kesalahan yang terpencil seperti itu; namun ada pihak menganggap semua institusi zakat sering bersifat lepas tangan dan sambil lewa menjaga kebajikan para asnaf yang tujuh, khususnya fakir, miskin dan muallaf?
Amanah Zakat
Zakat adalah instrumen penting menjaga kepentingan ummah. Bagi kami para amil, itulah yang dipasakkan ke dalam hati dan pemikiran kami. Kami juga sedar, berkerja sebagai amil, dibayar gaji dengan wang zakat, maka kami berusaha memastikan setiap sen wang zakat sampai kepada asnaf yang berhak. Adalah haram bagi amil yang mensesiakan walau sesen wang zakat, menyeleweng dan menafikan hak asnaf.
Anas bin Malik r.a. pernah melaporkan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apabila aku menyerahkan zakat kepada utusanmu, apakah aku sudah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya? Rasulullah SAW menjawab: “Benar, apabila engkau telah tunaikan zakat itu kepada utusanku maka engkau telah bebas daripada tanggungan zakat itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan engkau sudah mendapatkan pahala-Nya, sedang dosanya ditanggung orang yang menyelewengkannya (yakni para amil yang bertanggung jawab menguruskannya),”(Hadis Riwayat Ahmad).
Hadis di atas jelas meletakkan, tanggungjawab menjaga amanah dan mengelola wang atau harta zakat adalah di bahu para amil zakat. Amil yang menyeleweng, mereka dikira berdosa. Sebab itulah, para amil zakat berusaha menjaga amanah wang zakat dengan sebaiknya. Bahkan amalan cara kerja di institusi zakat juga, amat menekankan aspek amanah ini. Amil yang terbukti menyeleweng, tindakan akan diambil, sama ada dibuang kerja atau dirujuk kepada pihak berkuasa, seperti pihak polis dan pencegahan rasuah.
Benarkah susah mendapatkan bantuan?
Benarkah susah sangat mendapatkan bantuan zakat? Jika susah, masakan jumlah penerima zakat ada puluhan ribu bahkan mungkin ratusan ribu orang. Sebagai contoh, di Selangor sahaja bagi tahun 2011, hampir 20 ribu keluarga diberikan bantuan zakat sebagai asnaf fakir dan miskin. Itu belum dicampurkan dengan semua negeri lain di Malaysia. Jika benar susah memohon, kenapa ada begitu ramai yang mendapat bantuan zakat?
Jika ditinjau lebih teliti, bukan sedikit penerima bantuan zakat sudah mengecapi hidup yang lebih selesa berbanding sebelum mereka disantuni dengan wang zakat. Untuk menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal pada tahun 2011 misalnya, sesebuah keluarga menerima minimum RM550 dan maksimumnya RM1,000.00. Ia umpama bonus kepada fakir dan miskin, malah jauh lebih tinggi berbanding bonus kepada pesara kerajaan atau penjawat posisi tertentu yang hanya berjumlah RM500.00.
Begitu juga, kita boleh melihat kepada pelbagai aspek lain. Rumah atau perlindungan misalnya, ribuan asnaf fakir dan miskin serta muallaf, yang tidak mempunyai rumah telah diberikan rumah oleh pihak zakat. Mereka boleh duduk secara percuma, di rumah yang selesa. Tujuannya hanya satu, dengan rumah yang sempurna itu dapat memudahkan mereka merencanakan perubahan diri mereka seterusnya. Mereka tidak perlu memikirkan tempat tinggal lagi.
Rumah atau tempat berlindung ini, turut melibatkan rumah perlindungan bagi golongan yang khusus, seperti warga emas, wanita bermasalah, pesakit Aids dan sebagainya. Pendek kata, wang zakat dilaburkan secara berhemah dan sistematik, agar ia dapat menampung keperluan umat Islam secara lebih berkesan. Jika ada yang tidak mempercayai perkara ini, silalah merujuk kepada institusi zakat di negeri masing-masing bagi melihat sendiri bentuk agihan yang telah dilakukan.
Jadi, benarkah asnaf fakir dan miskin sukar mendapatkan bantuan? Ini kerana, ramai dalam kalangan mereka yang diberikan bantuan modal perniagaan. Bukan sedikit yang menceburinya, membuka restoran, membuka kedai runcit, membuka perusahaan membuat kuih tradisional, membuka bengkel membaiki kenderaan, mengecat kereta, membuka pusat kecantikan, urutan dan SPA, kedai dobi, membuka taska, menjalankan projek ternakan ikan, menternak ayam, lembu, kambing, menanam sayur dan sebagainya lagi.
Sekali lagi, benarkah asnaf fakir dan miskin diabaikan? Ini kerana, keperluan mereka dijaga penuh perhatian. Keperluan pendidikan misalnya, anak-anak mereka dibiayai dari sekolah rendah hingga ke universiti, bahkan hingga ke luar negeri. Anak-anak asnaf yang cemerlang, diberikan insentif tambahan, biasiswa, wang saku, komputer riba dan ganjaran akademik yang relevan dengan pencapaian. Maka, ramai anak asnaf yang berjaya dan ini membuktikan keberkesanan agihan zakat.
Akhirnya, benarkah susah mendapatkan bantuan zakat? Ini kerana, ribuan pesakit menerima habuan. Misalnya pesakit buah pinggang yang mesti melalui proses dialisis tiga kali seminggu, institusi zakat tampil membantu. Anak yang perlu dirawat, isteri yang terlantar di hospital, suami yang uzur dan sebagainya, diberikan bantuan zakat untuk menerima rawatan. Bukan kecil jumlahnya bahkan mencecah puluhan ribu seorang dan jutaan ringgit setiap tahun.
Hakikatnya, terlalu banyak jika mahu disenaraikan di sini. Namun, jika kita mahu menelitinya dengan hati yang tenang dan kepala yang tenteram, tidak sekadar mahu mencari kesalahan orang, maka kita pasti mengakui bahawa institusi zakat telah banyak meringankan bebanan ummah.
Pengalaman sebenar
Oleh itu, kenapakah ada perkhabaran kononnya masih ada segelintir umat Islam yang dinafikan hak mereka oleh pihak institusi zakat? Lalu, mereka akhirnya terjebak dalam kemelut akidah apabila tampil pihak-pihak lain, misalnya gereja, yang perduli dan ambil kisah keperluan mereka.
Suka dijelaskan, pemohon zakat adalah terdiri daripada 1001 ragam manusia. Ada yang jujur memohon bantuan atas keperluan diri dan keluarga, ada juga yang mahu mengambil kesempatan dengan alasan yang direka-reka. Sudah pasti, pihak institusi zakat perlu mengawalnya, sesuai dengan kehendak agama bahawa wang zakat adalah amanah yang kelak akan dipersoalkan di hadapan Allah. Dalam proses kawalan ini, pelbagai pengalaman menarik boleh dikongsi.
Ada kes, pemohon zakat yang datang dengan sekeping laporan polis. Dompet dan segala dokumennya telah hilang. Maka, dia datang mahu mendapatkan bantuan. Lebih menarik, adakalanya dengan jelas mereka mahu memohon atas asnaf ibn sabil, yakni pemusafir yang terlantar dek kehabisan belanja. Maknanya, sedari awal mereka sudah menetapkan di minda apakah bentuk zakat yang boleh mereka minta.
Demi mematuhi prosedur permohonan, mereka akan disiasat. Pernah berlaku, orang yang sama memohon berkali-kali di kaunter-kaunter zakat berhampiran. Ada juga yang nampak sangat ‘temberangnya’ apabila jawapannya jelas direka-reka. Misalnya, dia dari Johor mahu pulang ke Kedah, namun singgah di Selayang lalu di situlah dompetnya hilang. Bila ditanya, kenapa singgah di Selayang, jawapan yang diberikan mencurigakan. Bila ditanya berapa ringgit yang perlu untuk sampai ke destinasi, dia meminta jumlah yang tinggi. Adakalanya, diberikan RM100 diminta tambah lagi.
Dalam kes yang lain, ada yang datang ke pejabat zakat marah-marah melenting. Tanpa perduli maruah kakitangan atau amil di hadapan orang, mereka merungut kononnya wang bantuan bulanan lambat dimasukkan ke dalam akaun. Tidakkah pelik apabila mereka ini meletakkan punca rezeki hanya kepada wang zakat, sedangkan zakat hanyalah bantuan yang memenuhi kecukupan. Mereka mesti berkerja, kemudian zakat akan menampung bahagian yang tidak cukup. Zakat bukanlah pendapatan.
Ada juga yang lebih berani, wang zakat yang diberi digunakan ke tempat yang salah. Membeli rokok perkara biasa; malah ada yang sanggup berjudi pula. Bila tertangkap, terus-terang mereka mengaku mereka berjudi dengan wang zakat. Betapa remuk hati para amil apatah lagi pembayar zakat mendengar kes ini. Pihak amil terpaksa bertegas, maka adakalanya bantuan akan ditapis, diberikan sesuai dengan keperluan semasa demi memastikan ia tidak disalah guna.
Mungkin ada orang bertanya, kenapa pihak institusi zakat tidak mendidik para asnaf? Jawapannya, memang institusi zakat cuba mendidik mereka. Kelas pengajian dianjurkan, diberikan secara percuma, dicarikan guru yang berpengalaman, diajarkan membaca al-Quran, memperbetulkan solat, diberikan kursus keibubapaan dan sebagainya lagi.
Namun, jika mereka sendiri enggan merubah diri, misalnya dengan sengaja melarikan diri daripada kelas, bersikap sambil lewa menimba ilmu, apakah tindakan yang boleh dilakukan? Jika institusi zakat berkeras, nanti mereka mengadu kepada pihak lain dan silap haribulan, cerita yang tersebar ialah kerasnya pihak institusi zakat mendidik asnaf.
Nah! Ini baru lima peratus agaknya daripada pelbagai kisah yang boleh dikongsi. Apa yang penting, janganlah hanya mendengar sebelah pihak semata-mata langsung menerimanya tanpa banyak bertanya. Jika di dalam mahkamah, orang yang bersalah akan mencari 1001 alasan menafikan kesalahannya; manakala pendakwa akan mencari 1001 alasan membuktikan kesalahan. Hakim akan mendengar dengan saksama, bahkan kadang-kadang para juri juga mengambil peranan. Setelah didengar daripada kedua-dua pihak, barulah melontar keputusan. Baharulah adil namanya.
Kesimpulan
Apabila isu zakat digembar-gemburkan secara tidak adil, maka ia akan memberikan imej negatif kepada para amil dan isntitusi zakat. Kononnya peruntukan amil melebihi asnaf yang lain, bergaji besar, membeli bangunan dan kenderaan dan sebagainya. Ingin sekali saya ulas isu ini, tetapi biarlah dahulu. Bagi saya, berpeganglah kepada peringatan Allah SWT di dalam ayat 43, surah an-Nahl, jika tidak tahu atau kurang pasti, datanglah bertamu ke institusi zakat dan dapatkan jawapan yang pasti.
Seperkara lagi, isu kemiskinan dan kekufuran, bukan sekadar isu zakat. Ia adalah isu ummah. Ingin rasanya kita bertanya kepada semua pihak – kerajaan, badan dakwah, institusi masjid dan sebagainya lagi - sejauh manakah usaha yang telah dilakukan agar umat Islam bukan sekadar ditangani kemiskinan fizikal mereka; bahkan dibasmi kemiskinan jiwa mereka. Ini kerana, jika alasan kemiskinan fizikal semata-mata dijadikan penyebab kekufuran, yakinlah pada zaman dahulu ada dalam kalangan sahabat nabi lebih miskin harta tetapi iman tetap kukuh tertancap di dada.
Cubalah buka lembaran sejarah, kenalilah siapa Abu Hurairah, Salman al-Farisi, Bilal bin Rabah, Ummu Sulaim dan ramai lagi. Mereka ini miskin harta; tetapi kaya jiwa. Dalam kemiskinan itu mereka masih mencari jalan bersedekah, tidak senang meminta-minta. Iman mereka membugar dan dakwah mereka tersebar. Rahsianya, rangkaian sosial dan pihak berwajib umat Islam kala itu saling membahu menyuburkan Islam, tidak suka menyalahkan orang lain dan lebih penting, melakukan dahulu kerja-kerja pembaikan agar saudara seagamanya terselamat daripada kekufuran. Soalnya kini, dalam isu ini, apakah yang sudah kita lakukan? Wallahua’lam.
Nota: Hamizul Abdul Hamid, adalah seorang pendakwah dan tulisan ini tidak mewakili mana-mana institusi zakat, ia adalah minda penulis sendiri tanpa ada apa-apa kaitan dengan mana-mana pihak....Harakahdaily/-

Tiada ulasan:
Catat Ulasan