29 Ogos 2011

Perutusan Raya Ketua Dewan Ulamak

29 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Dato' Harun Taib

Hari Raya Hari Kemenangan Terhadap kebatilan dan Kezaliman

Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu akbar walillahilhamd…

Alhamdulillah selepas sebulan umat Islam berpuasa akhirnya kita InsyaAllah menyambut hari raya Idil Fitri bagi meraikan kejayaan kerana berjaya melaksanakan ibadah khusus seperti puasa, qiyam (tarawih), bacaan al-Qur'an, sedekah, zikir, iktikaf dan lain-lain. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim, Nasa’i dan Ibnu Majah yang bermaksud:

"Orang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Rab ( Allah s.w.t) yang mencipta dan menguruskan dirinya"

Oleh itu tiada sambutan raya bagi mereka yang gagal menjadi hamba Allah sepanjang Ramadhan kerana tiada kegembiraan bagi dirinya dan tiada apa yang ingin diraikan akibat kegagalan tersebut.

Berpuasa bukan hanya meninggalkan makan dan minum tetapi apa yang lebih penting ialah berpuasa daripada maksiat dan mengukuhkannya dengan amal ketaqwaan. Janganlah kita hanya menjadikan puasa sebagai amalan adat tetapi tidak menjadikannya sebagai ibadah. Ibadah bererti memberikan ketaatan yang mutlaq kepada Allah s.w.t.

Perlaksanaan puasa sebagai ibadat mengajak kita berpuasa meninggalkan segala perkara yg bercanggah dengan syara' dan bekerja untuk mencegahnya bermula daripada sekecil-kecil maksiat melibatkan individu sehinggalah kepada sebesar-besar maksiat yang melibatkan pemerintahan negara seperti rasuah, penyelewengan dan kezaliman.

Kezaliman yang paling besar ialah apabila pemerintah meninggalkan syariat Allah s.w.t dan membesarkan serta mengagungkan peraturan ciptaan manusia. Jihad mencegah kemungkaran perlu menjadi amalan orang berpuasa. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi:

“sebaik-baik jihad ialah menyampaikan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim"

Berpuasa adalah bertujuan membina ketaqwaan sebagaimana yang disebut di dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Ketaqwaan pula bukan hanya dengn melakukan atau memperbanyakkan amalan sunat tetapi sebagaimana disebut oleh tokoh pemerintah Islam yang adil iaitu Saidina Umar bin Abd Aziz ialah dengan melaksanakan apa yang diwajibkan oleh Allah s.w.t dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Antara kewajipan yang mesti ditunaikan oleh orang berpuasa untuk mencapai taqwa ialah bekerja mengembalikan pemerintahan negara yang berteraskan dan berprinsipkan Islam. Pemerintahan dengan tidak merujuk kepada Islam menjadikan rakyat samada muslim atau non-muslim menderita.

Hak kemanusiaan dan kerakyatan mereka dizalimi. Kebajikan rakyat tidak terbela. Rasuah berleluasa. Penyelewangan harta negara menjadi rencah sebahagian elit pemerintah. Keadilan dinodai.

Marilah kita merayakan Aidilfitri pada kali ini dengan ruh jihad perjuangan untuk menjadi hamba yang taat kepadaNya serta menyuruh melakukan ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran di atas dunia yang fana ini.

Allahu Akbar ! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd !

Dato’ Harun Taib
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat

Tiada ulasan: