12 Ogos 2011

Suhu 24 selsius: Najib terlebih dahulu kena berjimat

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Perdana Menteri dan timbalannya adalah orang pertama yang perlu melakukan penjimatan tenaga ekoran kos untuk bil elektrik kediaman rasmi kedua-duanya berjumlah lebih RM10 juta setahun yang terpaksa dibiayai dengan duit rakyat.

Secara lebih tepat, bil elektrik untuk kedua-dua rumah rasmi pemimpin negara itu berjumlah RM10,267,868.15 seperti yang dijelaskan oleh kerajaan di parlimen sebelum ini.

Menurut AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar), arahan mewajibkan pejabat kerajaan membuka suhu pendingin hawa atas paras 24 darjah selsius untuk penjimatan adalah sesuatu yang baik, namun lebih baik jika ianya dimulakan oleh pemimpin utama negara terlebih dahulu.

Sebelum ini Harakahdaily menyiarkan, Najib mempunyai 11 pegawai media (tukang spin) yang menjaga kepentingannya sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini hatta mana-mana pemimpin dunia.

Negara dibawah pimpinan Najib juga mempunyai 30 menteri, jumlah yang terlalu besar untuk sebuah negara yang jumlah penduduknya adalah 28 juta.

UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Malaysia ada 28 juta penduduk dan 30 menteri.

"Janganlah arahan itu hanya dirasai oleh kakitangan awam sahaja, pemimpin utama negara perlu terlebih dahulu berjimat.

"Rakyat sudah lama berjimat tetapi pemimpin negara bagaimana," soal Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan terbaru kerajaan supaya semua pejabat kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa 24 darjah selsius atau lebih.

Kerajaan semalam memaklumkan akan mengeluarkan satu pekeliling berhubung perkara itu dan akan membentangkan satu akta baru di Parlimen untuk membolehkan penguatkuasaan yang sama dilakukan ke atas pihak swasta.

Ianya bertujuan bagi menjimatkan bil tenaga elektrik sehingga empat hingga tujuh peratus.

Walaupun ianya disifatkan suatu yang baik, namun apa yang masih dipertikaikan sehingga kini adalah kos pembiayaan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalan yang dilihat langsung tiada pertimbangan untuk penjimatan.

Ia kerana kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman mereka.

Ia membabitkan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.

Jika dibahagikan, jumlah bil elektrik sebulan mereka adalah hampir RM160,000 sebulan.

"Bukan elektrik sahaja kena berjimat, air juga kena berjimat. Jika sudah tak ada sumber nanti, duit banyak pun dah tak guna.

"Satu lagi kepada pemimpin-pemimpin negara, berjimat la juga bila membuat majlis jamuan makan tu, bermewah sangat jangan sampai membazir," katanya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tempat saya bekerja dulu, Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA KUANTAN, aircond sentiasa rosak, berpeluh bekerja, ketua jabatan buat tak tahu ja... bekerja lah kami dengan penuh sabar dan taat. Tidak tahulah, bagaimana keadaannnya sekarang...