02 Oktober 2011

60 tahun: PAS matang berhadapan Umno

Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawan iaitu Umno, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendukung dan penyokongnya agar terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.

“Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan 60 Tahun PAS.

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Bersempena dengan Sambutan 60 tahun PAS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pendukung dan penyokong sejak dahulu hingga sekarang yang terus bersama dengan PAS memperjuangkan Islam agar tertegak di atas tanah air tercinta ini.

PAS adalah mata rantai perjuangan para Nabi dan Rasul bagi mengajak manusia agar kembali kepada Allah dan hukum hakam-Nya.

Prinsip PAS ini tidak pernah berubah walaupun strategi politik berbeza-beza untuk mencapai matlamat tersebut.

Ijtihad dalam politik tidak pernah menidakkan perkara yang thawabit dan tetap dalam PAS.

Strategi dan cabang agama terbuka kepada perubahan dan penyesuaian berdasarkan ijtihad.

Keanjalan inilah yang memungkinkan PAS terus relevan sehingga kini, mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Tahalluf siasi dengan parti yang mempunyai ideologi yang berbeza sebagai contoh, adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan.

Ia tidak mengorbankan prinsip dan thawabit PAS sebagai gerakan Islam untuk melaksanakan Islam secara syumul termasuk hukum hudud.

Ulama telah memainkan peranannya yang sangat besar dalam menempuh badai perjuangan ini.

Ulama telah menjadi nadi kepada PAS dengan kedudukannya yang tinggi dalam organisasi.

Majlis Syura Ulamak menjadi pemandu kepada parti agar tidak menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam PAS.

Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawannya iaitu Umno.

Pelbagai rintangan dan mehnah telah dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Walaupun ada di kalangan pendokongnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah namun PAS masih mampu bertahan kerana keyakinan kepada janji kemenangan oleh Allah s.w.t.

Pilihan raya yang hampir tiba seharusnya dihadapi dengan penuh strategi dan bijaksana.

Tenaga para ulama dalam berhadapan dengan ujian besar ini adalah sangat dituntut.

Ulamak tidak harus hanya menjadi penonton di luar gelanggang tetapi harus masuk berpencak silat bersama demi untuk melaksanakan tuntutan ilmu yang dipelajari.

Inilah masanya untuk para ulama beramal dengan ilmunya agar menjadi pohon yang menghasilkan buah yang ranum dan sedap dimakan.

Buat akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendokong dan penyokongnya. Agar anda terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.

Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan.

Tiada ulasan: