Sebutir peluru diposkan ke rumah pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari di rumahnya di Gombak hari ini, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebelum ini.
Katanya, bersama peluru itu, diselitkan juga sepucuk surat bertulis: "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti".
"(Dihantar dengan) pos biasa saja.
"Saya waktu itu baru hendak keluar rumah, dalam perjalanan ke Utara, ke satu program forum dengan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu di Bagan Serai," katanya yang kini dalam perjalanan bersama keluarganya.
Ketika dihubungi Malaysiakini awal petang ini, Aziz berkata, peluru itu dihantar oleh posmen dalam sampul surat biasa warna coklat ke peti surat rumahnya pada jam 11.45 pagi tadi.
Oleh kerana dalam keadaan tergesa-gesa, laporan polis akan dibuat akan dibuat selepas ini, selewat-lewatnya esok, kata Aziz.
Beliau bagaimapun tidak tahu jenis peluru itu tetapi menggambarkannya sebagai "kecil sahaja".
Ditanya perasaannya sama ada takut, beliau berkata "tidak" kerana pernah mendapat ancaman bertulis sebelum ini ketika mengkritik kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar pemilihan parti itu pada 2009.
"Saya OK. Saya bukan biadap dengan sultan. Saya bukan kata 'natang'. Itu jauh sekali.
"Saya cuma bercakap tentang exercise of power," kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Pada 23 Mac 2008, sekumpulan orang, dipercayai penyokong bekas Menteri Besar Terengganu dilaporkan mengadakan perhimpunan di hadapan kediaman rasmi menteri besar di Kuala Terengganu sambil membawa kain rentang bertulis "kami nak Idris, natang".
"Natang", dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang.
Aziz sebelum ini berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan dalam isu DUMC tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Tindakan itu menyebabkannya disiasat pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan UIA yang turut menggantung jawatannya selama beberapa hari.
Dalam masa yang sama, pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, kakitangan akademik universiti, NGO, pemimpin pembangkang, bahkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tampil menyatakan simpati terhadapnya.MK/-
1 ulasan:
Semua yang bersimpati dengan Dr Aziz minta sembahyang hajat samada terpimpin mahupun bersaorangan memohon petunjuk ilahi bagi menginsafi puak yang sentiasa mengaku islam tetapi mereka lah ketua dan pengikut yang menyesatkann umat islam.
Sepatutnya majlis mufti boleh menasihati pihak-pihak yang bertelagah lagi menyesatkan tetapi disebaliknya mereka menyepi seperti 'Tikus Nampak Kucing'. Kembalilah kepada AlQuran dan Sunnah supaya Negara dan Dunia kembali aman.
Catat Ulasan