12 November 2011

Panglima ATM dahului senarai

15 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


Sultan Muhammad V disambut oleh Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) ketika hadir pada Majlis Istiadat Letak Kerja dan Perbarisan sempena Ulangtahun Hari Keputeraan baginda di Istana Balai Besar, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 11 Nov. – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain mendahului senarai 613 penerima darjah kebesaran, bintang, tauliah dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Ke-42 yang akan berlangsung di Istana Balai Besar di sini esok.

Sambutan Hari Keputeraan tersebut pertama kali diadakan selepas Sultan Muhammad dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra pada 13 September tahun lalu.

Sultan Muhammad berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi 1) (SPMK) membawa gelaran Datuk kepada Zulkifeli.

Bendahari Majlis Orang-orang Besar Diraja Kelantan, Datuk Dr. Abdullah Sepien pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili 1 (SJMK) yang turut membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan SJMK ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali; Pengerusi Syarikat Sen Media, Sekh Mohd. Ruzi @ Adnan Sekh Ahamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House, Jamelah Jamaluddin dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood; Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi) Sekolah Perniagaan Pascasiswazah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (UM), Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; dua peguam, Profesor Azmi Mohd. Ali dan Sulaiman Abdullah; pesara, Nik Mustapha Nik Mahmood serta Datuk Saharudin Samsudin pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK).

Pengarah Infantri Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah merupakan dua tokoh yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) (DPKK).

Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II)(DPSK) pula dianugerahkan kepada sembilan penerima iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Che Mohd. Hashim Abdullah; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP), Makhtar Mustapha.

Penerima lain, Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nik Rahmat Nik Taib.

Turut dianugerahkan DPSK ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Dr. Zurkurnai Yusof.

Penerima DPSK lain ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim. Kesemua penerima di atas menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak @ Tuan Muda yang juga Pengerusi Purnama, merupakan antara enam penerima yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili III) (JMK).

Pegawai Pemerintah 91 Depot Pusat Ordinan Diraja Kem Batu Kentonmen, Kolonel Azlan Othman dan Pegawai Staf 2 Pendidikan Markas 8 Briged, Leftenan Kolonel Ku Mohd. Ali Ku Sulong pula menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi III) (PKK).

Selain itu, 42 orang menerima anugerah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi III), Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi IV) (57), Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi V) (70).

Seramai 42 penerima pula dianugerahkan Bintang Seri Mahkota Kelantan, Bintang Seri Kelantan (63), Bintang Ahli Kelantan (55), Pingat Bakti (57), Pingat Setia Mahkota Kelantan (69), Pingat Taat (59), Pingat Perangai Baik (52), Surat Kepujian (tiga) dan Jaksa Pendamai (11). Bernama

Tiada ulasan: