12 November 2011

Tiada pembubaran

15 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam tiada kaitan dengan cadangan membubarkan Parlimen seperti khabar angin sejak beberapa hari lalu kononnya beliau akan berbuat demikian pada tarikh 11.11.11.

Memulakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Perdana Menteri berseloroh: “Tarikh 11.11.11 akan berlalu tanpa Parlimen dibubarkan.”

Beliau berkata, mesyuarat itu membincangkan langkah memantapkan parti itu, selain persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang

“Tiada perbincangan mengenai pengagihan kerusi atau tarikh kemungkinan pilihan raya diadakan,” katanya. Hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Menjelaskan lanjut, Perdana Menteri berkata, pemimpin BN diingatkan kembali kepada semangat dan prinsip parti dengan mengamalkan sikap hormat menghormati.

“Pemimpin BN juga perlu cenderung membincangkan isu berkepentingan bersama secara tertutup untuk mencari kata sepakat dalam menangani isu sensitif dan sebaliknya,” katanya.

Mesyuarat juga membincangkan mengenai Bajet 2012, terutama kaedah penyampaian bantuan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah serta RM500 kepada keluarga berpendapatan kurang RM3,000.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu turut dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Dalam Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang dipengerusikan Muhyiddin

Tiada ulasan: