18 Disember 2011

Hakim kes Husam saman Kickdefella tarik diri

22 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 18 Dis: Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella).

Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti Malaya.

Keputusan itu dibuat katanya bagi mengelakkan tanggapan yang tidak sesuai kepada mahkamah, dan lebih baik baginya menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Sehubungan itu kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (1), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.

Pada korum hari ini sepatutnya mahkamah mendengar hujahan di atas permohonan Syed Azidi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun disebabkan Hakim Azman menarik diri hujahan peguam defendan ditangguhkan ke 29 Januari hadapan.

Husam diwakili peguam Hisham Fauzi dan Zainal Abidin Mustapha, manakala Syed Azidi diwakili Dato' Firoz Hussein dan Natasya Amelia Yean daripada firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: