14 Januari 2012

Semua aset NFC telah dibekukan, bukti bahawa dakwaan ada kebenaran !

21 Safar 1433H. [MOD] -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesemua aset Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) telah dibekukan pada masa ini.

Katanya, beliau juga sudah menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk mengkaji apakah penyelesaian yang terbaik dalam isu NFC, dengan siasatan polis yang dijalankan dan masa depan NFC itu sendiri.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging
import.

Perdana menteri juga menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti selama tiga minggu adalah keputusan yang tepat.

Katanya, ia akan membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Shahrizat sama ada beliau terbabit atau tidak dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Najib berkata ia termasuk siasatan dari awal lagi sama ada Shahrizat sebagai seorang menteri, terbabit dalam proses pemberian projek itu kepada keluarganya.

"Ya, saya dah berbincang dengan Shahrizat. Keputusan untuk ambil cuti itu adalah keputusan yang tepat untuk membolehkan pihak berkuasa jalankan siasatan yang rapi.

"Dan Datuk Seri Sharizat beritahu dia sanggup disiasat sepenuhnya dan apa yang akan berlaku kemudian tertakluk kepada hasil siasatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Parit Buntar hari ini.

Shahrizat dalam satu kenyataan Khamis lepas mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai semalam daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui suaminya Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan Pakatan Rakyat tentang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Pada 12 Jan lepas Parti KEADILAN mendesak kerajaan supaya membekukan aset National Feedlot Corporation (NFC) sebelum syarikat itu mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) dan mesyuarat lembaga pengarahnya.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata pembekuan aset itu penting bagi memastikan NFC tidak melakukan penstrukturan semula kerana ia akan membantutkan siasatan polis.

2 ulasan:

Huda al Hadi berkata...

Kak Izat sepatutnya dah kalah pilihanraya letak jawatan ketua wanita lah; dah tu kalah pun pada orang muda"kata orang setahun jagung". Bila gitu maknanya orang tak nak lagi, kita terhegeh nak dan syok sendiri. Bila kita cintakan kemasyhurannya nafsu jadi tamak.

Jika kak Ijat tak terlibat secara langsung atau tidak langsung pun kedudukan sebagai menteri itu sendiri memberi kesan mempengaruhi kepentingan suami/keluarga. Saya tidak tahu suami kak Ijat tu Dr apa (Dr Falsafah atau Dr Perubatan Manusia atau Dr perubatan veterina). Kalau Dr veterina sesuai dengan bidang projek asal(ternakan) tetapi bukan projek kondominium. Jika Dr falsafah sepatut berada di Menara Gading mengajar anak-anak harapan bangsa.
Kalau Dr Perubatan sepatutnya berkhidmat dengan Hospital Kerajaan; sama-sama memberi sumbangan untuk rakyat.

Dalam hal pemberian peruntukan 'Songsang' kesalahan tidak patut dibeban kepada pemohon sahaja. Yang meluluskan (Menteri Kewangan (siapa?)) juga wajar dibicara kenapa meluluskan sedangkan latar belakang orang yang hendak diluluskan itu juga diambil kira.

Jika di amati dari jumlah RM 250 juta rasanya bukan seorang sahaja yang berkepentingan tentu ada perkongsian pintar dalam Projek. Maka siasatan jangan hanya berlegar kepada yang memohon bahkan yang melulus juga perlu diambil kira. Kalau definasi rasuah yang memberi dan yang menerima adalah sama taraf.

Dalam tema pilihanraya "siakap senohong gelama ikan duri; bercakap bohong akhirnya jadi 'Menteri'

Tanpa Nama berkata...

Huda, jangan ceramah panjang, nanti dia naik angin, nanti dia "selak kain", kalau dia selak kain lembu pun lari, matahari tak bergerak, jam, air sungai berhenti mengalir, air tasik putrajaya kering.