15 Mac 2012

Adik-beradik Trump dikecam

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ANAK Trump dengan harimau bintang yang berjaya dibunuh mereka di Zimbabwe.

LOS ANGELES: Anak lelaki bilionair hartanah, Donald Trump, mencetuskan kemarahan orang ramai ekoran tindakan mereka memburu haiwan liar dan dengan megah bergambar bersama bangkai haiwan berkenaan.

Aktivis hak asasi haiwan menyelar Donald Trump Jr, 34, serta adiknya, Eric, 28, yang membunuh pelbagai binatang liar, termasuk seekor gajah, buaya, musang dan rusa.


Mereka berburu di Zimbabwe, tahun lalu, dan gambar itu dipaparkan syarikat pengendali aktiviti berkenaan, Hunting Legends.

Satu daripada imej itu menunjukkan Eric memegang bangkai seekor harimau bintang sambil berdiri di sebelah abangnya.


Gambar lain memaparkan Trump Jr menunjukkan ekor gajah yang dipotong pada satu tangan, manakala tangannya yang lagi satu memegang pisau.


Kumpulan pencinta haiwan menganggap aktiviti berburu sebagai kejam dan tidak sensitif.

Bagaimanapun, adik-beradik itu mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa, daging haiwan berkenaan diberi kepada penduduk setempat untuk dijadikan makanan mereka.


Melalui Twitter, Trump Jr berkata, dia tidak rasa bersalah langsung atas tindakannya itu.

“Ia adalah aktiviti memburu dan memberi makan. Saya seorang pemburu dan tidak perlu saya meminta maaf,” katanya.


Menurut Trump Jr, semua hasil buruan itu tidak dibuang begitu saja.


“Penduduk kampung sangat gembira kerana dapat makan daging yang jarang-jarang diperoleh.


“Tambahan pula, buruan kami bukan haiwan diancam kepupusan,” katanya.


Sebagai pemburu, katanya, dia juga menyayangi hidupan liar, tetapi yakin bayaran yang dikenakan untuk mendapat lesen berburu memberi banyak manfaat.


“Sumbangan kami jauh lebih besar berbanding apa diberikan aktivis hak asasi haiwan,” katanya. - TS

Tiada ulasan: