15 Mac 2012

Kilang Vale: Rakyat Perak bakal bangkit

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUMUT, 15 Mac: Pada waktu rakyat Malaysia masih berkempen kuat untuk menutup kilang rare earth milik Lynas Corp dari Australia, satu protes besar bakal berlaku di Perak terhadap sebuah kilang pemprosesan bijih besi milik Vale International dari Brazil.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Gabungan Rakyat Perak Prihatin (CCCP) menuntut projek tersebut dihentikan sementara supaya analisa impak terhadap penduduk setempat, terutamanya di Lumut dapat dilakukan.

Pengerusinya, Zainal Abidin Osman berkata CCCP akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan bermula 21 Mac ini untuk memaksa kerajaan negeri Perak untuk mengkaji semula projek berkenaan dan meletakkan langkah-langkah pengawasan yang sepatutnya bagi menjamin keselamatan alam sekitar, kehidupan penduduk setempat dan masa depan.

Oleh itu, beliau menggesa penduduk Perak, terutamanya Lumut dan Pangkor untuk menyertai kempen ini.

“Selain itu, kita turut menggesa kerajaan negeri untuk menghalang Valemax, kapal kontainer bijih besi terbesar untuk memasuki Lumut,” kata beliau, sambil menambah Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mesti mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan kebimbangan penduduk.

Zainal berkata kemasukan kapal besar tersebut bakal membawa kesan kepada alam sekitar, dan negeri China juga telah bertindak menghalang kapal Vale untuk berlabuh di pelabuhannya atas faktor masalah teknikal kapal dan kesan kepada persekitaran.

Satu perhimpunan rakyat akan diadakan, dan butiran lanjutnya akan didedahkan kepada rakyat pada 29 Mac nanti, tambah Zainal.

“Rakyat Perak tidak boleh ditipu untuk menerima projek ini atas nama membawa keuntungan kepada mereka dan negeri. Kesan daripada projek ini adalah besar dan langkah-langkah segera perlu diambil sebelum projek ini dikaji semula sebelum mengakibatkan kemusnahan yang tidak boleh diselamatkan,” tambah Zainal.

Akhir tahun lepas, Harakahdaily telah melaporkan bantahan rakyat Perak terhadap jeti RM676.8 juta yang diletakkan di bawah syarikat asing.

Mereka menyoal sama ada Zambry berada di pihak mereka ataupun di pihak firma asing.

Menurut blog say no to Vale International, kerajaan Perak tidak seharusnya meletakkan jeti Lumut di bawah syarikat Brazil, Vale International yang bakal menggunakan jeti tersebut untuk menerima dan menghantar keluar jumlah hasil bijih besi yang banyak.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai cuai, blog tersebut mendakwa banyak perkara yang tidak diketahui impaknya sekiranya projek tersebut dilaksanakan.

“Sementara kesan terhadap alam sekitar masih menjadi persoalan, impak kerana jeti ini dipegang warga asing pula menimbul pelbagai persoalan lain. Dan berapa banyakkah spinoff downstream value (aliran tunai ke bawah) kepada rakyat Perak juga masih tidak terjawab.

“Kerajaan Perak di bawah Zambry sedang melakukan sesuatu yang tidak sihat yang tidak pernah dilaksanakan jika ia tetap membenarkan syarikat asing untuk memiliki jeti di satu lokasi yang begitu strategik seperti di Lumut,” blog tersebut memberikan amaran.

Kilang Vale yang terletak di Teluk Rubiah mempunyai kapasiti untuk memproses 60 juta ton bijih besi setiap tahun.

Kilang tersebut mula dibina Julai lepas, dan dijangka akan mula beroperasi pada Jun 2014.

Kerajaan Perak pernah berkata jumlah pelaburan yang bakal diterima daripada Vale adalah antara RM9 bilion ke RM14 bilion.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: