30 Mac 2012

Kajian: 70% pemilih di KL tidak dapat dijejaki

7 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA, 30 Mac: Gabungan beberapa NGO yang menjalankan audit bebas daftar pemilih mendapati Kuala Lumpur adalah kawasan paling tinggi mempunyai pemilih yang tidak dikenal pasti menurut alamat yang direkodkan dalam daftar pemilih suku ke-4 2010 iaitu sebanyak 70 peratus.

Mengekorinya pula adalah Selangor dengan 45 peratus, Melaka (38%), Johor (32%), Negeri Sembilan (31%) dan negeri-negeri lain di bawah 30 peratus.

Keseluruhannya, hanya 74 peratus sahaja daripada responden di seluruh negara boleh dijejaki sama ada bertemu dengan mereka di rumah atau mendapat pengesahan dikenali oleh jiran.

Manakala 26 peratus lagi adalah tidak dapat dijejaki atau disahkan.

Dapatan itu direkodkan oleh NGO pemantau pilihan raya Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan badan penyelidik Merdeka Centre yang menjalankan audit daftar pemilih pada Disember 2010 lalu.

Kajian dibuat terhadap 2,400 responden melibatkan 60 kawasan parlimen di seluruh negara.

Hasil kajian audit mereka itu didedahkan pada satu sidang media hari ini.

Kajian itu juga mendapati, wujud 8 peratus alamat pemilih yang tidak sah manakala 92 peratus lagi adalah sah dan dikenalpasti.

Alamat yang tidak diketahui paling tinggi juga di Kuala Lumpur sebanyak 27 peratus, Negeri Sembilan 26 peratus manakala Selangor 14 peratus.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: