02 Mac 2012

Mahathir beri bayangan, 'Tun' lain juga terlibat

9 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN, 2 Mac: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua Tun juga mesti diaudit, memberi gambaran bahawa mungkin pemimpin lain juga terlibat dengan skandal kewangan.

"Mahathir tidak menafikan dakwaan tersebut sebaliknya berkata siasatan dan audit juga harus dilakukan kepada semua individu bergelar Tun.

"Kenyataan Mahathir ini juga memberi petanda bahawa beliau mungkin menyimpan banyak rahsia tentang individu-individu yang bergelar Tun yang mungkin ada kaitan dengan pelbagai skandal kewangan", tegas Zulkefly.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir baru-baru ini yang menggesa semua Tun perlu diaudit dan bukan dirinya sahaja.

"Bukan sahaja saya, semua Tun mesti diaudit.Begitu juga dengan anak-anak dan cucu-cicit mereka," kata Mahathir pada satu sidang media 29 Februari lalu.

Ianya sebagai respons terhadap desakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya Mahathir diaudit ekoran kerugian RM100 billion ketika beliau menjadi perdana menteri.

"Jika dakwaan Kit Siang itu tidak benar, beliau boleh menafikan tetapi di sini beliau melontarkan bola kepada umum seolah-olah berkata bukan beliau seorang sahaja yang terlibat sebaliknya individu lain yang bergelar Tun juga harus disiasat dan diaudit," kata Zulkefly.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: