02 Mac 2012

SUKARELAWAN PRIHATIN MASALAH DADAH TERBELA

9 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berseru kepada diri saya dan sidang jumaat sekalian marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan sambutan Hari AntiDadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, mimbar jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah dengan tajuk ‘Sukarelawan Prihatin Masalah Dadah Terbela’.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kesukarelawanan merupakan tulang belakang kepada pembangunan sesebuah organisasi atau negara.Tanpa semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan individu dan kumpulan dalam sesebuah organisasi,kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan sempurna. Di Malaysia semangat kesukarelawanan sememangnya telah lama berakar umbi dalam kalangan masyarakat.Ini dapat dilihat daripada kata-kata dan ungkapan yang sering diucapkan menggambarkan semangat kesukarelawanan dan kerjasama. Sebagai contoh: yang buta meniup tepung; yang pekak membakar meriam: yang capek menghalau ayam; yang kurap menyiang buluh.

Ia menggambarkan keperluan setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing ke arah pencapaian matlamat bersama.

Islam amat menggalakkan dan menuntut kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu ke arah kebaikan secara ikhlas dan sukarela kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama lain. Jika sifat sedemikian wujud di kalangan umat Islam, maka akan terbinalah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan kesatuan komuniti umat Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَ‌ٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Yang bermaksud: "Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya."

Sifat tolong-menolong dan semangat kesukarelawan bantu-membantu bukan hanya tertumpu kepada kewangan atau harta benda semata-mata tetapi ia juga boleh dilaksanakan dengan sumbangan tenaga dan nasihat seperti bantu-membantu dalam mencegah kemungkaran kerana masyarakat juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan kesejahteraan dalam sesebuah negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Agensi Antidadah Kebangsaan merupakan agensi yang telah bertanggungjawab dalam menguruskan permasalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utama Agensi AntiDadah Kebangsaan ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, berarah dan selaras demi mewujudkan satu masyarakat yang bebas daripada dadah.

Tugas untuk membebaskan masyarakat dan negara yang bebas dadah adalah sangat mencabar, tanggungjawab ini tidak mampu dilakukan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan secara bersendirian, namun usaha ke arah itu akan lebih berjaya dengan adanya sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

Apa yang lebih penting ialah kerjasama dari orang ramai membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan dalam membanteras permasalahan dadah dan mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat.

Maka dalam hal ini, pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan mengharapkan supaya masyarakat sama-sama berganding bahu dan terlibat sama-sama dalam menjaga permasalahan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, mereka perlu membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan dengan memberi nasihat mereka yang terlibat dengan permasalahan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK, atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai permasalahan dadah yang berlaku di tempat masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya: “Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."

Jika berlaku kemungkaran seperti penyalahgunaan dadah, maka masyarakat juga tidak terlepas dari mengambil inisiatif mencegahnya mengikut kemampuan masing-masing.Tetapi jika tidak berkemampuan mencegahnya, maka laporkanlah kepada pihak berkuasa, kerana ini juga berupa suatu pencegahan dan bantuan kepada pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan.

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah Sekalian,

Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasakan bertanggungjawab untuk membanteras permasalahan dadah, maka dengan itu, Agensi AntiDadah Kebangsaan telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1MALAYSIA). Matlamat utama penubuhan Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1MALAYSIA) ialah supaya semua sukarelawan ini bertindak dan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam menangani masalah dan ancaman dadah.Objektif Skuad 1Malaysia adalah seperti berikut:

1. Membantu pihak kerajaan khususnya AADK di dalam membanteras penyalahgunaan dadah;
2. Menggerakkan program-program dan aktiviti pencegahan dadah di dalam komuniti;
3. Memberi sokongan dan membantu bekas-bekas penagih dadah bagi mengekalkan kepulihan total; dan
4. Memastikan penglibatan anggota masyarakat di dalam merealisasikan masyarakat bebas dadah.

Agensi AntiDadah Kebangsaan mengambil kesempatan melalui mimbar pada hari ini, menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menyertai serta memberi sokongan dan kerjasama kepada Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia) dalam menyelesaikan permasalahan dadah. Dengan penyertaan,

sokongan dan kerjasama kepada Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia) ini diharapkan dapat membantu Agensi AntiDadah Kebangsaan melaksanakan tugas mengatasi permasalahan dadah negara. Semangat sukarelawan ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Malaysia untuk membantu kerajaan memerangi permasalahan dadah.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya:
"Dari 'Adi bin Hatim ia berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran di hadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menurunkan azab-Nya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan orang ramai (orang awam)."

Daripada hadis tadi jelas kepada kita bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat mengikut kemampuan dan kuasa masing-masing.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu berusaha menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita daripada masalah dadah. Mudah-mudahan kehidupan kita aman sejahtera dan mendapat perlindungan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 110 :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ ﴿١١٠﴾

Yang bermaksud:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman sebagaimana yang semestinya, tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasiq."

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Tiada ulasan: