19 April 2012

BR1M perangkap BN pancing undi rakyat

27 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Mohd Nor Yahya,/ Hasrakahdaily
KUALA KRAI: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 yang diagih kepada 6.2 juta rakyat baru-baru ini dianggap sebagai perangkap dipasang Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.


Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, pemberian tersebut semata-mata bagi memancing undi rakyat dengan harga yang murah.

“Dengan RM500 pemimpin Umno dan BN beranggapan rakyat akan terpengaruh, sedangkan orang ramai sedar wang itu ialah hasil cukai mereka yang dibayar kepada kerajaan.

“Saya yakin rakyat tidak mudah terpengaruh dengan umpan seperti itu. Mereka lebih merasai kos hidup yang semakin meningkat sekarang dan muak pelbagai penyelewengan kerajaan BN,” katanya di majlis “TTemu Mato JJemok Kiro” anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di Lata Rek baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Negeri, Abdul Rahman Yunus dan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan pegawai penerangan kerajaan negeri, Abdul Hamid Derani.

Muhamad Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, rakyat mulai mengetahui kehidupan boros pemimpin Umno dan BN menjadi antara punca banyak subsidi untuk rakyat dikurangkan.

Menurutnya juga PAS tetap menentang Umno dan mendedahkan penyelewengan dilakukan mereka biar pun parti itu tidak lagi diterajui Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tetap memerangi Umno kerana dasar parti itu tidak berlandaskan Islam manakala pemimpin mereka banyak terpalit dengan pelbagai skandal dan penyelewengan,” katanya.

Di majlis tersebut juga Dr Muhammad Fadzli menerima borang keahlian PAS daripada seorang penyokong Umno kampung terbabit, Muhammad Mahat.

Beliau bersama sembilan anggota keluarga menyertai PAS dan meninggalkan perjuangan Umno yang disertai selama ini.

Tiada ulasan: