14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM, 6 Mei: Majlis Makan Malam Pimpinan Pakatan Rakyat 2012 yang dianjur Pemuda PAS Kelantan malam tadi mencatat sejarah apabila turut diadakan lelongan barang-barang milik Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Antaranya jam tangan, baju, jaket, kasut dan potret-potret terkini beliau. Paling menarik seutas jam yang mengandungi cop kerajaan negeri dibida dengan harga RM2,700 oleh seorang pengunjung, Rushdan Mustafa.
Program itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw diadakan di I-City dekat sini dihadiri kira-kira 1,000 tetamu.
Turut hadir Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman dan anggota Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.
Pengarah program, Ahmad Fadhli Shaari berkata, program tersebut diadakan bertujuan mengutip dana pilihan raya Dewan Pemuda PAS Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Katanya, Pemuda PAS mensasarkan penderma di sekitar Lembah Klang terutamanya anak-anak Kelantan yang berada di perantauan untuk sama menyumbang bagi mempertahankan kerajaan Kelantan.
Sementara itu Menteri Besar berkata, rakyat cukup matang membuat penilaian sebenar ketika berdepan dengan serangan bertali arus Umno dan BN menggunakan media massa yang mereka kuasai.
“Saya cukup optimis serangan bertalu-talu pemimpin Umno dan BN terhadap Kelantan dan Pakatan Rakyat tidak akan mendatangkan kesan kerana rakyat dapat menilai apa sebenar yang berlaku,” katanya di majlis tersebut.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Pemuda PAS Kelantan menganjurkan program berkenaan sehingga mendapat sambutan memberangsangkan.
Oleh itu beliau berharap semua pihak bekerja lebih keras demi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU-13.
Pada majlis itu juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz menurunkan tandatangan di atas potretnya yang berjaya dijual.
HARAKAHDAILY/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan