06 Mei 2012

Jumlah kematian akibat letupan kilang di Rayong kini 12 orang

14 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Sembilan orang lagi maut, menjadikan jumlah kematian akibat letupan di sebuah kilang petrokimia di Kawasan Perindustrian Ma Ta Phut di Rayong semalam, meningkat kepada 12.

Timbalan Menteri Kesihataan Awam, Surawit Konsombboon berkata 30 orang masih dirawat di beberapa hospital di Rayong dan Bangkok, kebanyakan mereka kerana melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sembilan orang yang dimasukkan ke hospital semalam kerana kecederaan serupa, dibenarkan pulang hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dan kebanyakan yang cedera adalah pekerja kilang itu.

Beribu-ribu orang, termasuk pekerja dan penduduk di kawasan dalam lingkungan tiga kilometer dari kilang berkenaan, dipindahkan semalam berikutan letupan pada jam 4 petang itu, yang dipercayai mengeluarkan gas toksik.

Gabenur Rayong Senee Jittakasem mengisytiharkan seluruh kawasan perindustrian berkenaan serta kawasan tiga kilometer sekitarnya sebagai zon bencana.

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Kawasan Perindustrian Thailand tidak mengesan sebarang gas toksik terkandung dalam udara di kawasan itu.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan pekerja membersihkan sebuah tangki di kilang itu dengan menggunakan bahan kimia Toluene.

Kementerian Kesihatan Awam berkata bahan kimia itu membahayakan kesihatan jika disedut melalui pernafasan.

Kilang itu menghasilkan, antara lain, bahan mentah untuk kegunaan proses hiliran petrokimia seperti pembuatan getah tiruan dan resin plastik.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan beberapa menteri melawat kilang berkenaan dan mangsa di Rayong hari ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: