26 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia didesak supaya memainkan peranan yang lebih prihatin sebagai salah sebuah anggota Asean yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi untuk memastikan umat Islam di rantau ini tidak dizalimi oleh mana-mana pihak.
Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan media antarabangsa mengenai situasi yang menyedihkan yang menimpa umat Islam Rohingya di Myanmar.
Menurutnya, Malaysia sepatutnya menggunakan segala saluran diplomatik untuk mengenakan tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan konflik itu daripada terus menghimpit umat Islam di sana.
Justeru, ujarnya, Dewan Ulamak PAS mendesak agar kerajaan Malaysia mengambil tindakan yang segera khususnya mengenakan tekanan secara diplomatik untuk memastikan umat Islam di negara itu dibela dan tidak dizalimi.
"Tidak gunanya kita berbangga sebagai sebuah negara umat Islam tetapi tidak prihatin dengan apa yang berlaku ke atas saudara sesama Islam di rantau yang sama.
"Kita mahu umat Islam di sana dibantu, dan mendesak kerajaan Malaysia jangan hanya berpeluk tubuh, hulurkan tangan persaudaraan sesama Islam untuk membantu umat Islam di sana," ujarnya.
Jelasnya, seluruh umat Islam di dunia seperti satu tubuh seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. dan apa yang dirasai oleh umat Islam di Myanmar akan turut dirasai oleh umat Islam di sini.
"Dalam masa yang sama, kita juga menyeru umat Islam di Malaysia turut mendoakan kepada saudara kita di Myanmar dan seluruh dunia agar dipermudahkan urusan mereka serta dikurniakan kesabaran dan seterusnya memperolehi kemenangan di dunia dan di akhirat," ujar beliau.
Sebelum ini Harakahdaily melaporkan warga Rohingya di Malaysia berkumpul berhampiran kedutaan Amerika Syarikat memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar.
Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini.
Semalam, hampir 2,000 warga Rohingya berarak menuju ke kedutaan Myanmar bagi membantah pembunuhan saudara mara mereka oleh regim negara itu.
Mereka mula berarak dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat menuju ke bangunan kedutaan kira-kira 1 kilometer dari masjid dengan membawa sepanduk mengecam kekejaman regim, dan gambar-gambar mangsa yang dibunuh kejam oleh penyokong regim.
Mereka mengecam tindakan pembunuhan hampir 1,500 muslim Rohingya dan 3,000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu beberapa hari lalu.
Himpunan hari ini adalah anjuran NGO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim) yang turut disokong Dewan Pemuda PAS.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan