20 Julai 2012

MB : Terus Terang Cara Terbaik Selesai Masalah Rakyat

30 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 20 JUL : Kerajaan Negeri Selangor menggunakan pendekatan ‘berterus-terang’ semasa membincangkan masalah dan aduan masyarakat setempat dalam sesi bertemu rakyat bersama pimpinan tertinggi negeri di Program Khas Terima Kasih Rakyat (PKTKR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pendekatan itu bukan sahaja efisyen, malah membuktikan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak hanya pandai menabur janji kosong.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga konsisten dengan keputusan yang dibuat dan sentiasa mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya ambil pendekatan berterus terang supaya tidak membuang masa rakyat. Kalau perkara itu boleh dilakukan, maka kita akan buat. Kalau tidak boleh, kita akan terangkan sebabnya dan cari alternatif lain. Kita tidak mahu buat janji kosong.

“Saya rasa apa yang penting ialah rakyat mahukan respon yang cepat. Kita mesti mencari jalan untuk selesaikan masalah mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena PKTKR daerah Petaling, di sini pagi tadi.

Abdul Khalid berkata, masalah yang diadukan rakyat itu akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari bergantung kepada isu yang dikemukakan.

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, sesi bertemu rakyat anjuran Kerajaan Negeri semakin mendapat perhatian, apatah lagi ia satu-satunya medium yang membolehkan masyarakat bertemu pimpinan tertinggi negeri untuk mengutarakan masalah mereka.

Menurutnya, kaedah ini membolehkan pimpinan negeri memahami kehendak rakyat sebelum melaksanakan sesuatu polisi.

“Sesi bertemu rakyat ini amat penting. Pada pendapat saya, pemimpin perlu bertemu rakyat sepanjang masa. Kadangkala setelah polisi itu dilaksanakan, apabila timbul masalah, barulah dia turun ke bawah.

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita ingin merangka sesuatu polisi, kita bertemu rakyat terlebih dahulu,” ujarnya

selangorku/-

Tiada ulasan: