3 Ramadhan 1433H. [MOD] -
BERA – Kebun sawit atau getah dikatakan menjadi lokasi pilihan pertama bagi mereka yang ponteng puasa sepanjang bulan Ramadan.
Dengan lokasi yang agak tersorok dan jauh dari orang ramai, golongan yang gemar ponteng puasa ini akan menjadikan ia sebagai port bukan sahaja untuk makan dan minum tetapi juga tempat mereka berjudi.
Seorang peneroka, Mokhtar Mohd, 63, dari Felda Rentam berkata, sememangnya kawasan itu masih menjadi kegemaran mereka yang ponteng puasa sehingga sekarang walaupun minggu ini baru merupakan minggu pertama berpuasa.
Menurutnya, ada juga pihak yang sanggup bersubahat apabila mereka menjual makanan, minuman termasuk sebatang rokok dengan harga RM10.
“Selalunya, mereka yang ponteng puasa adalah di kalangan peneroka dan golongan generasi kedua yang bekerja di kebun, dan mengambil kesempatan di tempat kerja untuk menyembunyikan perbuatan mereka.
“Namun, kegiatan mereka itu sering dihidu pihak tertentu seperti jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan Rela yang sering membuat pemantauan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mokhtar, lokasi itu sering bertukar kerana bimbang mereka ditangkap semasa makan atau minum, apatah lagi berjudi di bulan Ramadan.
Katanya, asalkan kawasan itu tersorok dan jauh dari orang ramai, ia akan menjadi lokasi seterusnya bagi mereka.
“Jika pada hari biasa, tiada siapa pula mahu bekalkan pakej makanan dan minuman termasuk rokok kepada pekerja buruh di kebun,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda (MBFM) Felda Bukit Puchong, Azli Ismail berkata, buat masa ini, tiada lagi kegiatan ponteng puasa yang berlaku di perkampungan itu namun berdasarkan kes-kes sebelum ini, lokasi utama adalah di dalam kawasan kebun sawit.
Katanya, mereka yang bekerja sebagai buruh di kebun menggunakan kesempatan itu untuk tidak berpuasa.
Menurutnya, jika diperhatikan ada di kalangan mereka yang sanggup membawa botol air dari rumah.
“Memang dari awalnya mereka berniat untuk tidak berpuasa.
“Jadi, apabila ramai di kalangan mereka yang berbuat demikian, tidak mustahil wujud puak yang menjual makanan yang lebih sedap semasa berada di
dalam kebun,” katanya.
Azli berkata, dalam hal ini, MBFM bersama JKKK dan Rela saling bekerjasama bagi memastikan perkara seumpama itu dapat dibanteras bagi menghormati bulan Ramadan.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan