26 Ogos 2012

Assange: UK tarik balik ancam serbu kedutaan Ecuador

7 Syawal 1433H. [MOD] -

ECUADOR: United Kingdom telah menarik balik ancaman menyerbu masuk kedutaan Ecuador di London untuk menahan pengasas Wikileaks, Julian Assange yang sedang berlindung di situ, ujar Presiden Ecuador.

Rafael Correa berkata demikian semasa sidang mingguan media Sabtu lalu.

(Assange bercakap kepada media di kedutaan Ecuador)


"Kami menganggap kejadian yang mendukacitakan ini telah berakhir, selepas kesilapan diplomatik yang teruk daripada kerajaan British yang mahu menyerbu masuk kedutaan kami," kata Correa.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Ecuador berkata mereka telah menerima "satu mesej dari Pejabat Luar Negara British yang mengatakan bahawa tidak ada ancaman untuk menyerbu masuk kedutaan Ecuador".

Ecuador berang selepas kerajaan British memberi amaran bahawa mereka mungkin akan cuba untuk menahan Assange, yang telah berkurung di dalam bangunan kedutaan itu lebih daripada dua bulan kerana cuba untuk mengelakkan dari diserah balik ke Sweden, di mana beliau dikehendaki untuk disoal siasat atas tuduhan rogol dan serangan seksual.

Ecuador, yang telah memberi suaka politik kepada Assange, sebelum ini menuntut bahawa ancaman daripada Britain itu ditarik balik.

Langkah terbaru itu sepatutnya mampu memperbaiki hubungan antara Quito dan London dan membenarkan lebih banyak perbincangan mengenai nasib Assange dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, buat masa ini, Assange masih terperangkap di kedutaan Ecuador dengan pihak polis British menunggu di luarnya.

Britain berkata mereka tekad untuk memenuhi tuntutan undang-undang untuk menghantar Asange ke Sweden.

Ancaman Britain dikritik

Pertubuhan negara-negara Amerika (Organisation of American States), sebuah kumpulan yang berpusat di Washington, sebelum ini telah mengutuk ancaman UK, dan Menteri Luar Amerika Selatan menyokong penuh pandangan Correa bahawa amaran dari UK itu tidak masuk akal.

Correa berkata beliau berkongsi kebimbangan Assange bahawa jika Asange diserahkan ke Sweden, maka Asange boleh diserahkan ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan ke atas penerbitan Wikileaks tahun 2010 berkenaan rahsia diplomatik AS.

Bagaimanapun, sumber-sumber kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah mengatakan Amerika Syarikat tidak mengeluarkan sebarang tuduhan jenayah terhadap pengasas Wikileaks itu dan tidak melancarkan sebarang cubaan untuk membuatkan beliau diserah balik ke AS.

Kerajaan Ecuador berkata mereka tidak pernah berniat untuk menghalang Assange daripada dibawa ke mahkamah di Sweden.

Ecuador berkata jika Asange menerima jaminan bertulis daripada Britain dan Sweden bahawa Asange tidak akan diserah ke mana-mana negara ketiga maka Assange akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Sweden.

harkahdily/

Tiada ulasan: