10 Ogos 2012

Malaysia sejahtera tanpa Umno

21 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerakusan Umno mengapi-apikan perkauman dan sentimen keagamaan membuktikan bahawa Malaysia akan hanya selamat dan sejahtera tanpa parti itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Setelah isu perkauman yang diapi-apikannya selama ini semakin tidak laku dan tinjauan mendapati sokongan orang Melayu kepada Umno semakin merosot, hari ini parti itu mengapi-apikan pula sentimen keagamaan dengan bermodalkan sangkaan yang sesat mengenai Islam," kata beliau.

Mahfuz yakin, apa yang berlaku itu membuktikan Umno tidak ada modal lain lagi untuk mendapatkan sokongan melainkan mengapi-apikan perkauman dan sentimen keagamaan bermodalkan sangkaan jahat yang sesat terhadap Islam.

"Perbuatan Umno yang sangat tidak bertanggungjawab itu akhirnya akan memecabelahkan rakyat dan menghancurkan negara ini.

"Ia semakin membuktikan bahawa jika rakyat mahukan negara ini terus selamat dan sejahtera, masa hadapan negara ini mestilah dibina tanpa Umno.

"Selagi Umno masih berkuasa, kita bimbang negara ini tidak selamat dan sejahtera," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan percubaan Umno meracuni fikiran rakyat dengan pelbagai sangkaan jahat yang sesat mengenai agama tidak akan dapat memadamkan pelbagai pencerahan yang dibuat oleh PAS mengenai kerjasama untuk menentang kemungkaran.

"Di dalam pelbagai kertas kerja dan kajian yang dibuat oleh PAS termasuk yang disiarkan di dalam laman-laman web kita, pelbagai hujah telah diberikan yang menjelaskan bahawa Islam menggalakkan kita berkerjasama untuk menentang kemungkaran dengan semua pihak asalkan tidak menggadai prinsip.

"Kita tidak pernah gadai prinsip kita dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) sendiri mengiktiraf perkara itu dalam pilihan raya kecil Tenang dulu apabila beliau mengisytiharkan bahawa sejak daripada dahulu pun PAS tidak pernah mengatakan hendak pinda perlembagaannya," kata beliau.

Sebaliknya, kata Mahfuz, sifat Umno yang menjadi suatu kemungkaran dan kemudaratan diiktiraf dan diisytiharkan oleh tokoh-tokoh parti itu sendiri.

"Sifat Umno yang mungkar dan mudarat yang membahayakan rakyat dan masa hadapan negara diiktiraf dan diisytihar oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri yang sehingga hari ini diiktiraf sebagai tokoh paling berpengaruh di dalam Umno melebihi pengaruh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan isterinya (Datin Seri) Rosmah (Mansor).

"Dr Mahathir ingatkan kita dengan jelas bahawa Umno sudah jadi parti perasuah dan beliau juga tulis bahawa parti yang pernah dipimpinnya itu sudah busuk hingga ke usus," katanya.

Mahfuz menjelaskan, rakyat boleh mendapatkan hakikat yang sebenarnya mengenai Umno melalui apa yang dikatakan oleh tokoh-tokoh parti itu sendiri.

"Bukan PAS atau parti lain kata , Dr Mahathir sendiri yang akui dan isytihar bahawa Umno sudah jadi parti perasuah dan mengenai PAS pula, Muhyiddin sendiri yang iktiraf dan isytihar bahawa PAS tidak pernah berniat hendak perlembagaannya," kata beliau.

Malah, katanya lagi, dari segi sikap Umno terhadap Islam pula, ia terbukti dengan kenyataan Najib yang menyatakan kepada para wartawan pada 20 April 1983 bahawa negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan.

Mahfuz mengingatkan rakyat bahawa negara ini akan hancur jika terus dicengkam oleh parti perasuah.

"Sejarah menunjukkan pelbagai tamaddun hancur binasa antara lain kerana rasuah dan kepimpinan dari jenis yang busuk hingga ke usus," katanya.

Mahfuz juga yakin, rakyat khususnya orang-orang melayu semakin matang dan tidak akan terpengaruh dengan kerakusan Umno mengapi-apikan perkauman dan sentimen keagamaan dengan bermodalkan sangkaan yang sesat mengenai Islam.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: