10 Ogos 2012

Sabit berdarah di sisi mayat

21 Ramadhan 1433H. [MOD] -

RAUB: Seorang wanita yang mengutip buah di kebun hampir pengsan apabila menemui mayat lelaki tertiarap berlumuran darah dipercayai dibunuh di Kampung Gali Tengah, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 40-an yang berasal dari Myanmar ditemui mati di tempat kejadian selepas kehilangan banyak darah akibat dilibas dengan sabit oleh penyerangnya.

Sebelum kejadian, wanita berusia 44 tahun itu yang berjalan di kebun berkenaan curiga selepas melihat satu objek tertiarap dihurung lalat dan dia memberanikan diri menghampiri bagi memeriksa objek itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, Deputi Superintendan Azhar Abdul Rahman berkata, selepas menghampiri objek berkenaan, wanita terbabit melarikan diri dari tempat kejadian sebelum menghubungi Balai Polis Raub memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki.

Menurutnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan sebelum menemui mayat lelaki tanpa baju yang hanya berseluar panjang.

Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis kemudian menemui sabit yang masih berlumuran darah dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa sebelum lelaki warga asing itu maut di tempat kejadian.

“Sehingga kini, rakan sekerja mangsa sudah menghilangkan diri dan kami percaya lelaki itu mempunyai kaitan dalam kejadian pembunuhan terbabit.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub (HR) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti identiti sebenar,” katanya di sini, semalam.

metro/-

Tiada ulasan: